Harimau dahan yang berjaya ditangkap. FOTO Amran Yahya
Harimau dahan yang berjaya ditangkap. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


Kuala Pilah: Seekor harimau dahan jantan yang dipercayai membaham 10 biri-biri milik dua penduduk di Kampung Gamin Hilir, Seri Menanti, di sini, sejak beberapa hari lalu ditangkap, pagi tadi.

Harimau dahan atau nama saintifiknya, 'neofelis nebulosa' ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), kira-kira jam 5 pagi.

Penduduk, Fauzi Ishak, 44, berkata, dia menyedari perkara itu sebaik terdengar bunyi sebelum melihat pintu perangkap terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya tertutup.

"Pada mulanya saya tidak mengendahkan bunyi itu namun kira-kira jam 6.30 pagi saya beranikan diri melihat apa sebenarnya berlaku. Saya terkejut apabila ternampak kelibat seekor harimau dalam perangkap lalu menghubungi PERHILITAN Jempol," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi mengesahkan penangkapan harimau berkenaan.

Harian Metro 23 Mac lalu melaporkan lima biri-biri milik Aris Adam, 70, ditemui mati dipercayai dibaham harimau menyebabkan dia kerugian hampir RM5,000.

Kejadian pertama berlaku pada 15 Mac lalu apabila biri-biri berkenaan ditemui mati dalam kandangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 6:39 PM