MAHDZIR (tujuh kiri) dan Sin Woon (lapan kiri) bergambar bersama replika cek di Majlis Penyerahan Cek kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kedah dan Perlis. FOTO Sharul Hafiz Zam
MAHDZIR (tujuh kiri) dan Sin Woon (lapan kiri) bergambar bersama replika cek di Majlis Penyerahan Cek kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kedah dan Perlis. FOTO Sharul Hafiz Zam
Adha Ghazali


Alor Setar: Enam puluh lapan sekolah bantuan kerajaan (SBK) di bawah kategori Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kedah menerima manfaat hasil peruntukan RM3.485 juta yang disalurkan Kementerian Pendidikan.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada RM50 juta peruntukan tahunan yang disediakan kerajaan khusus untuk SJKC pada tahun lalu, untuk dimanfaatkan 846 sekolah dalam aliran itu di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan disalurkan itu adalah sebahagian daripada janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk membela sekolah dalam aliran SJKC dan ia membuktikan kerajaan benar-benar prihatin.

"Sejak 2010 hingga 2016, kerajaan sudah salurkan RM440.3 juta kepada SBK di bawah kategori SJKC untuk tujuan penyelenggaraan dan kami dapat lihat keadaan infrastruktur bertamabh baik di sekolah yang menerima peruntukan itu.

"Untuk 2017 pula, Kerajaan Pusat bersedia untuk menyediakan peruntukan RM50 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri kerana kerajaan amat komited dalam pembangunan pendidikan vernakular, terutama dalam memastikan tiada SBK khususnya SJKC terabai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Khas SJKC membabitkan 68 dari Kedah dan enam dari Perlis di SJKC Keat Hwa, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon dan Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 6:35 PM