Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: “Saya buat buku sendiri dan tulis semua loghat Kelantan yang dituturkan, kemudian terjemah kepada bahasa Inggeris serta bahasa Melayu untuk mudahkan pertuturan. Apabila tak tahu, saya tanya rakan.

"Demi nak mudahkan berkomunikasi juga, saya tengok drama Melayu yang ada terjemahan supaya saya dapat dalami budaya orang Malaysia keseluruhannya," kata pemuda berasal dari Istanbul, Turki, Mat Daud atau nama sebenarnya Fatih Imamoglu, 24, yang fasih bertutur dalam loghat Kelantan, malah makan budu.

Mat Daud kini terkenal selepas sejak minggu lalu, videonya bercakap loghat Kelantan tular di laman sosial terutama Facebook selepas dimuat naik seorang rakannya.

Kini, di Terengganu ada Mat Dan, di Kelantan pula ada Mat Daud.

Menurutnya yang kini di Jakarta, dia makan budu tetapi tidak selalu dan menggemari Nasi Kak Wok.

"Budu pun make (makan) tapi jare.. jare (jarang) lah. Lagi satu Nasi Kak Wok sedap, susoh nok (susah nak) cari di luar (Kelantan)," katanya.

Menurut Mat Daud, dia tidak menyedari seorang rakannya memuat naik video pendek berdurasi seminit itu ke laman sosial sehinggalah Facebook miliknya menerima banyak mesej dan permintaan kenalan.

"Telefon saya sampai 'hang' disebabkan tiba-tiba banyak sangat 'notification' Facebook. Saya pun tak sangka boleh viral (tular) dengan cepat. Dalam masa sama, saya cuak juga kerana tiba-tiba jadi 'buruan'... tiba-tiba popular.

"Sebelum ini kawan yang rekod video itu tanya sama ada saya mahu popular atau tidak... saya jawab nok lah (nak lah) tapi kami hanya bergurau sahaja ketika itu dan saya pun tidak ambil pusing.

"Saya tak sangka yang dia betul-betul 'popularkan' saya dengan muat naik video terbabit," katanya.

Mat Daud anak sulung daripada lima beradik berkata, dia memahirkan diri dengan bahasa Melayu dan loghat Kelantan selama setahun selepas menjejakkan kaki ke negeri ini pada 2009.

Katanya, ketika itu dia berusia 16 tahun berkunjung ke Malaysia kerana mengikut keluarga yang menjalankan perniagaan pakaian di Kelantan.

"Saya sempat belajar di sekolah antarabangsa, Wadi Sofia di Binjai, di sini selama enam bulan sebelum ibu bapa kembali ke Turki dan saya menetap terus di sini kerana terpikat dengan suasana dan orangnya.

Mat Daud berkata, dia kini mengusahakan perniagaan berkaitan kecantikan dan kesihatan di bandar ini tidak menolak untuk menjadi sebahagian daripada penduduk tempatan kerana keenakan makanan, budaya dan kemesraan orangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 8:10 PM
FATIH Imamoglu atau Mat Daud, warga Turki yang jadi bualan orang ramai di laman sosial kerana fasih bertutur loghat Kelantan.
FATIH Imamoglu atau Mat Daud, warga Turki yang jadi bualan orang ramai di laman sosial kerana fasih bertutur loghat Kelantan.