PENERBIT Da'i musim kedua Shukri Ibrahim (dua dari kanan) bersama finalis.
PENERBIT Da'i musim kedua Shukri Ibrahim (dua dari kanan) bersama finalis.
Oleh Norhayati Nordin .

.

Misi penca­rian pendakwah muda paling cemerlang, Da'i musim kedua kini semakin menghampiri episod kemuncak yang akan berlangsung jam 9 malam esok di Sri Pentas 2, Shah Alam.

Seramai tiga orang peserta terpilih akan berentap di pentas akhir iaitu Ammar Ismail, 25, dari Pulau Pinang, Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad, 24 (Kelantan) dan Ahmad Izzhar Ahmad Nazri, 22 (Selangor).

Siapakah di antara tiga peserta terbaik ini akan merangkul gelaran juara Da'i yang sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai RM100,000.

Pastinya finalis akhir yang bertarung ini giat membuat persediaan termasuk menyusun strategi tersendiri. Apatah lagi, masing-masing memiliki kelebihan untuk muncul sebagai juara.

Bersua mereka pada sesi fotografi diatur pihak penerbitan, TV3 baru-baru ini apa yang menariknya salah seorang peserta akan berentap di pentas akhir itu pernah tersingkir daripada per­saingan.

Nik Ahmad Farhan atau Farhan tersingkir pada episod kelima berikutan masalah kesihatan tidak diduga. Pun begitu, Farhan nyata tidak mensia-siakan peluang keduanya pada minggu kelapan.

Pada minggu separuh akhir itu, ia membabit­kan pertarungan semula peserta Da'i tersingkir untuk merebut satu peluang berentap di malam kemuncak. Justeru, rezeki nyata menjadi milik Farhan.

Kata anak muda yang sudah berstatus haji ini, dia sangat bersyukur kerana masih diberikan peluang kedua oleh Allah. Ujarnya apapun tak dinafikan dia berasa agak kecewa tersingkir awal.

"Namun saya tetap akur dengan ketetapan Ilahi dan berserah. Apatah lagi, keluarga banyak memberikan sokongan supaya tidak berputus asa.

"Bahkan, kesakitan dialami itu hanyalah ujian kecil. Jadi, apabila dimaklumkan saya dapat peluang di separuh akhir Da'i musim kedua ini, saya tekad dalam hati ber­usaha gigih.

"Syukur usaha saya berjaya dan matlamat untuk melayakkan ke pentas final ini menjadi kenytaan. Apapun, sama ada menang atau sebaliknya saya berserah pada rezeki," katanya.

Farhan yang berpe­ngalaman sebagai pakar motivasi berkata apa yang diharapkan dia mampu membuat yang terbaik dalam dua ujian ditetapkan iaitu tazkirah dan imtihan.

Bagi Ammar pula dia berminat menyertai Da'i musim kedua ini sebagai platform untuk mempersiapkan diri bergelar pendakwah muda.

Katanya, berdakwah pada zaman kini bukan sekadar harus kreatif tetapi sokongan populariti juga memainkan peranan. Jadi, ujar­nya dia akan gunakan sedikit populariti dimiliki itu untuk berdakwah demi agama.

"Saya tidak mengejar kemenangan hadiah bernilai RM100,000 disediakan itu. Sebaliknya, saya sangat bersyukur kerana sudah menimba banyak pengalaman sepanjang me­nyertai program Da'i ini.

"Apapun, saya teruja menantikan malam kemuncak ini kerana berkemungkinan keluarga dari Pulau Pinang akan datang ke Shah Alam menyaksikannya," kata Ammar.

Ammar lulusan Usul­luddin dari Universiti Yarmouk, Jordan berkata selain terbabit dalam dakwah dia juga bercadang melanjutkan ­pengajiannya hingga ke tahap doktor falsafah.

Finalis termuda, Ahmad Izzhar berkata dia lebih selesa memastikan dirinya bersedia dari aspek mental dan fizikal.

Kata mahasiswa jurusan psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak itu dia melihat Farhan sebagai saingan rapatnya. Namun tekadnya dia akan berusaha melakukan terbaik.

"Setakat ini, strategi saya adalah menggunakan kemahiran ­bahasa ketiga iaitu Mandarin dalam penyampaian tazkirah nanti.

"Meskipun tidak menggunakan kemahiran pe­nguasaan bahasa itu sepenuhnya, tetapi saya cuba memuatkannya dalam tazkirah dipersembahkan," katanya.

Ahmad Izzhar yang cukup cemerlang dalam penyampaian tazkirahnya bagaimanapun yakin persaingan malam kemuncak Da'i musim kedua ini pasti sengit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:31 AM