Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan penambahan satu laluan baru projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.

Beliau berkata, penambahan laluan baru itu untuk kemudahan rakyat di negeri ini.

“Hari ini atas permintaan ramai, kita tambah satu lagi laluan ke Pengkalan Kubor, Tumpat berbanding ke Wakaf Bharu sebelum ini.

“InsyaAllah projek ini akan siap sepenuhnya pada 2021 atau 2022 untuk digunakan rakyat di negeri ini dengan masa perjalanan hanya empat jam sahaja.

“Lepas ini, bolehlah kalau hari minggu rasa nak makan nasi tumpang atau nasi kerabu boleh balik semace (semacam),” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Transformasi Bandar ( UTC) Kelantan di sini tadi.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob serta kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurut Najib, kemudahan itu akan menjadi punca utama kepada pertumbuhan ekonomi sehingga 1.5 peratus di Pantai Timur.

“Pada masa yang sama, peluang pekerjaan juga akan bertambah dan penduduk di negeri ini tidak perlu berhijrah.

“Ini satu projek akan jadi realiti berkat kerjasama kerajaan pusat kepada rakyat,” katanya.

Perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dapat dipendekkan hanya dalam tempoh empat jam menerusi projek ECRL. 

Projek ECRL yang kini dalam peringkat pemeriksaan awam membabitkan cadangan laluan kereta api elektrik dari Wakaf Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak yang mempunyai 23 stesen di sepanjang landasan sejauh 600.3 kilometer dan dijangka dimulakan pembinaannya pada Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:09 PM