REPLIKA kereta api ECRL laluan Pantai Timur. FOTO arkib NSTP
REPLIKA kereta api ECRL laluan Pantai Timur. FOTO arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


PROJEK pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan dijangka dimulakan paling awal pada Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kini proses pengambilan dan pengecaman tanah sedang dijalankan.

"Pada Jun 2017, syarikat Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd mendapat kelulusan skim kereta api daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pada tempoh sama turut mendapat Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Pelan pengambilan tanah untuk projek fasa pertama (laluan Pasir Puteh ke Kota Bharu) sudah selesai manakala untuk fasa kedua (Kota Bharu ke Pengkalan Kubor) masih dalam penyediaan.

"Asalnya projek ini patut mula Januari 2018, namun beberapa perkara masih belum selesai, kita jangka permulaan projek ECRL akan dimulakan secepatnya pada Mac 2018," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahman bertanya mengenai perkembangan terkini kemajuan projek ECRL di Kelantan.

Mengulas lanjut, Hanifa, projek itu dijangka membabitkan pengambilan tanah lebih 10,000 penduduk di laluan sepanjang 70 kilometer dari Pasir Puteh ke Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Jangkaan fasa pertama membabitkan 6,000 pemilik tanah manakala fasa kedua membabitkan lebih 3000 pemilik tanah.

"Bagaimanapun untuk fasa kedua, kita masih membuat pengecaman kampung yang terbabit untuk laluan ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) ketika ditemui berkata, ECRL memainkan peranan penting dalam menarik kehadiran pelabur di Pantai Timur khususnya Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 3:57 PM