HAMAD Kama Piah (kiri) bertukar dokumen dengan Abdul Farid.
HAMAD Kama Piah (kiri) bertukar dokumen dengan Abdul Farid.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur : Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan mengambil alih 30 peratus saham Pelaburan Hartanah Nasional Berhad (PHNB) yang dimiliki oleh Malayan Banking Berhad (Maybank) sekali gus menjadikan PHNB kini adalah milik penuh PNB.

PNB dalam kenyataannya berkata, pengambilalihan itu membabitkan pembelian 300,000 saham biasa PHNB milik Maybank yang telah diselesaikan pada 29 Disember 2014.

Satu majlis penyerahan dan pertukaran dokumen diadakan antara Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dengan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Dengan perkembangan ini, PNB kini menguasai 100 peratus saham PHNB, sekali gus memiliki keseluruhan modal diterbitkan dan modal berbayar PHNB.

PHNB adalah pengurus Amanah Harta Tanah PNB (AHP) dan PNB Property Trust (PPT). AHP adalah REIT atau amanah pelaburan hartanah pertama di Malaysia yang dilancarkan pada 1989 dan telah disenarai di Bursa Malaysia sejak 1990.

Manakala PPT ialah tabung amanah hartanah persendirian yang dimiliki sepenuhnya oleh PNB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:06 AM