PEMENANG Pengarah Terbaik dan Telefilem Terbaik, Dira Abu Zahar di Anugerah Kaseh Tribute P Ramlee 2016 di Angkasapuri. FOTO Saifullizan Tamadi
PEMENANG Pengarah Terbaik dan Telefilem Terbaik, Dira Abu Zahar di Anugerah Kaseh Tribute P Ramlee 2016 di Angkasapuri. FOTO Saifullizan Tamadi
Ardini Sophia Sina


TELEFILEM Redhaku Untukmu arahan Dira Abu Zahar dinobatkan sebagai Telefilem Terbaik pada Anugerah Kaseh Tribute P Ramlee 2016 (AKTPR2016), malam tadi.

Majlis penyampaian anugerah berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Karya terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu turut merangkul anugerah Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Iedil Putra) dan Pelakon Wanita Terbaik (Sharifah Sakinah).

Bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula disandang oleh Aida Khalida (Sri Bulan) manakala Pelakon Lelaki Terbaik diberikan kepada Che Kem menerusi drama Kembara Nak Dara.

Anugerah Sinematografi Terbaik dan Anugerah Skrip terbaik masing-masing dimenangi Junaimeramfizal Rahmat serta Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Harlina Samad.

Sembilan kategori dicalonkan pada penganjuran kali ini termasuklah Anugerah Khas Juri yang memilih telefilem Kembara Nak Dara arahan Al Jafree Md Yusof sebagai pemenang.

Malam kemuncak AKTPR 2016 menampilkan pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya sebagai pengacara.

Turut memeriahkan majlis adalah persembahan daripada Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Azharina Azhar, Zarul Umbrella, Syamel, Ernie Zakrie, Color Of Voices dan Aisha Safia.

Antara barisan penyampai anugerah pula ialah Ijoy Azhari, Sharifah Shahirah, Joey Daud, Watie Sadali, Micheal Ang, Puspha Narayanan dan Datuk Yusof Haslam.

Anugerah ini pertama kali diadakan pada 2013.

Ini adalah kali ketiga penganjuran majlis anugerah mengiktiraf karya seniman agung Allayarham Tan Sri P Ramlee.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 2:56 AM