GOOI Soon Seng ditemuramah media di Mahkamah Sesyen Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
GOOI Soon Seng ditemuramah media di Mahkamah Sesyen Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Peguam mewakili suspek warga Indonesia belum dapat kepastian sama ada anak guamnya akan didakwa atas pertuduhan membunuh atau sebaliknya.

Peguam, Gooi Soon Seng berkata, hal ini kerana beliau belum menerima sebarang maklumat lanjut berkenaan kes membabitkan anak guamnya daripada pihak pendakwaan.

"Siti Aishah mungkin boleh didakwa atas pertuduhan membunuh, menyebabkan kematian, bersubahat atau sebarang pertuduhan lain," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Sepang di sini, hari ini.

Beliau yang sudah dua tahun menjadi peguam retainer untuk pihak kedutaan Indonesia dilantik beberapa hari lalu mengetuai barisan lima peguam termasuk S Selvi, Azura Alias, Loke Kok Mun dan Wong Kah Hung.

Selain itu, Soon Seng berkata, pertuduhan akan dijalankan di hadapan Hakim Harith Sham Mohamed Yasin.

Pada 16 Februari lalu, dua wanita warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam iaitu abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Reman terhadap suspek warga Vietnam dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, serta warga Indonesia dikenali sebagai Siti Aisyah, 25, kemudian disambung tujuh hari.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu dengan cecair beracun yang dikenal pasti Polis Diraja Malaysia sebagai ‘VX Nerve Agent.’

Berita berkaitan:

Pembunuhan Jong-nam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 9:27 AM