CALON PhD tulen terpaksa bertungkus-lumus dan sentiasa berusaha menyelesaikan pelbagai cabaran bagi memastikan pengajian diikuti berakhir dengan kejayaan. -Gambar Google
CALON PhD tulen terpaksa bertungkus-lumus dan sentiasa berusaha menyelesaikan pelbagai cabaran bagi memastikan pengajian diikuti berakhir dengan kejayaan. -Gambar Google
SANGAT susah mahu menamatkan pengajian PhD kerana perlu mengendalikan pelbagai tuntutan pengajian antaranya menyediakan tesis, kertas cadangan, penyelidikan dan sebagainya sebelum menamatkan pengajian. -Gambar Google

SEBAGAI calon atau pemegang PhD, keupayaan mereka menguasai ilmu adalah berterusan dan tidak dilakukan sambil lewa.-Gambar hiasan
SEBAGAI calon atau pemegang PhD, keupayaan mereka menguasai ilmu adalah berterusan dan tidak dilakukan sambil lewa.-Gambar hiasan
SALAH satu ciri pemegang PhD sebenar adalah keupayaan mereka menghasilkan satu cabang ilmu baru dengan melakukan pelbagai penyelidikan. -Gambar hiasan
SALAH satu ciri pemegang PhD sebenar adalah keupayaan mereka menghasilkan satu cabang ilmu baru dengan melakukan pelbagai penyelidikan. -Gambar hiasan
USAHA calon untuk memperoleh PhD adalah sangat sukar, justeru apabila ia disalah gunakan, pasti akan meninggalkan rasa terkilan dalam kalangan mereka yang bertungkus-lumus melanjutkan pengajian. -Gambar hiasan

SATU kepuasan apabila seseorang berjaya menggenggam PhD dan mempunyai gelaran Dr hasil usaha dilakukan dengan jalan yang betul.-Gambar hiasan
SATU kepuasan apabila seseorang berjaya menggenggam PhD dan mempunyai gelaran Dr hasil usaha dilakukan dengan jalan yang betul.-Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin

Isu penipuan ijazah doktor falsafah (PhD) sudah lama wujud namun hingga kini ia masih lagi tidak dapat dibanteras sepenuhnya.

Malah, semakin kuat usaha dilakukan untuk mengatasi kewujudan PhD palsu ini, semakin galak pula pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan peluang untuk memperoleh penganugerahan antara tertinggi dalam dunia akademik itu.

Dari kaca mata ahli akademik, penipuan PhD juga seolah-olah seperti menidakkan usaha calon atau pemegang PhD sebenar yang terpaksa bertungkus-lumus menamatkan pengajian sebelum dianugerahkan gelaran doktor falsafah.

Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI) Universiti Sains Islam Malaysia Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, berkata, PhD adalah suatu proses penyelidikan yang memerlukan seseorang itu menguasai sesuatu bidang.

Menurutnya, dalam usaha menguasai sesuatu bidang itu calon pemegang PhD bukan saja perlu mengerah seluruh tenaga dan pemikiran ketika pengajian malah turut melakukan pelbagai usaha bertaraf akademik supaya setaraf dengan gelaran doktor falsafah yang bakal dianugerahkan kelak.

“Bukan satu perkara mudah untuk memperoleh PhD ini kerana banyak usaha perlu dibuat sebelum dianugerahkan dengan gelaran Dr.

“Mempunyai gelaran itu sebenarnya adalah satu penghormatan bagi mereka yang berusaha keras memperolehnya, jadi bukan sewenang-wenangnya ia boleh dipergunakan atau pun dijual beli.

“Daripada pandangan ahli akademik, penyelewengan dan penyalahgunaan PhD oleh pihak tidak bertanggungjawab sangat dikesalkan kerana PhD adalah simbol tertinggi untuk seorang ahli akademik sepanjang pengajiannya menuntut ilmu,” katanya.

Beliau berkata proses dilalui calon PhD itulah yang mematangkan seseorang di dalam bidang penyelidikan diceburinya.

“Proses yang selalunya memakan masa tiga hingga 10 tahun ini memerlukan suatu pengorbanan besar termasuk masa, tenaga, wang ringgit dan keluarga.

“Jadi, apabila seseorang menggunakan gelaran Dr melalui penyalahgunaan PhD, sudah tentu ia mencalarkan kredibiliti ahli akademik sebenar yang mengorbankan banyak aspek sepanjang tempoh itu,” katanya.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket atau dalang yang bertanggungjawab menjual sijil akademik palsu di negara ini.

Menerusi laporan sebuah akhbar, wujud sindiket yang menawarkan sijil kelayakan akademik pelbagai peringkat termasuk PhD dalam tempoh 24 jam selepas bayaran dibuat.

Sindiket itu didakwa mengenakan bayaran antara RM11,000 hingga RM15,000 bagi mendapatkan sijil dari pelbagai negara di Asia Barat, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Greece, Turki dan China.

Ditanya apakah perbezaan antara PhD palsu dan tulen, beliau berkata PhD palsu boleh diperoleh dalam tempoh singkat, memilih institusi disukai dan tidak perlu mengikuti kursus ditawarkan seperti yang dijalankan universiti tulen.

Sementara PhD asli pula diperoleh dengan cara sukar termasuk terpaksa melakukan pengorbanan, menulis, mengumpul dan menganalisis data, perlu bersedia mempertahankan kertas cadangan dan pembentangan viva.

“Calon PhD tulen jika menyambung pengajian ke luar negara, memang terpaksa menempuh perjalanan pengajian yang sukar kerana bukan saja terpaksa bekerja menampung pengajian malah bersengkang mata bagi memastikan eksperimen dijalankan dipantau secara berterusan.

“Terpaksa menulis tesis yang tebal, bertukar penyelia dan pelbagai lagi cabaran sangat sukar.

“Sebab itu, kami sebagai ahli akademik berasa sangat terkilan apabila gelaran Dr yang diterima itu seperti diperkotak-katikkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Justeru, katanya, cadangan KPT untuk memperkenalkan pangkalan data bagi pendaftaran semua pemegang PhD sangat dialu-alukan demi membanteras perdagangan PhD.

“Dalam usaha kementerian yang meletakkan sasaran 60,000 pemegang PhD menjelang 2023, ramai pihak yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya menggunakan gelaran Dr tanpa segan silu.

“Apabila pengenalan data, diperkenal dan digunakan, hanya yang layak saja boleh menggunakan gelaran itu sekali gus mengekang aktiviti pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan kredibiliti calon atau pemegang PhD sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 11:06 AM