FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Selepas tiga hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), lelaki yang dipukul tiga individu di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat meninggal dunia jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, mangsa yang berusia 34 tahun bersama rakannya dipukul tiga lelaki menggunakan tangan dan kaki.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa dan rakannya baru pulang ke rumah sebelum melihat sebuah kereta diletakkan di hadapan kediaman itu.

"Mangsa dan rakannya meminta tiga lelaki itu mengalihkan kenderaan sebelum suspek memukul mereka.

"Mangsa mengalami kecederaan dihantar ke HRPZ II manakala rakannya terselamat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ceramah Jati Diri dan Motivasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki berusia lingkungan 40 ditahan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seorang lagi masih diburu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 7:25 PM