Ahmad Zahid menyampaikan elaun sara hidup kepada nelayan di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Parlimen Bagan Datuk di Dewan Serbaguna Hutan Melintang. FOTO Muhaizan Yahya
Ahmad Zahid menyampaikan elaun sara hidup kepada nelayan di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Parlimen Bagan Datuk di Dewan Serbaguna Hutan Melintang. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Bagan Datuk: Pelaksanaan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi nelayan asing yang sepatutnya bermula Rabu ini ditangguhkan dan sistem lama digunakan semula untuk mengambil pekerja asing bekerja di bot nelayan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penangguhan pelaksanaan sistem baru itu dilaksanakan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha bot laut dalam.

Menurutnya, pihaknya maklum mengenai memorandum daripada persatuan nelayan yang meminta agar permit kerja nelayan asing dilaksana menggunakan sistem lama kerana sistem PLKS memberi banyak masalah.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap dengan penangguhan yang dibuat dan pelbagai insentif diberi kerajaan kepada golongan nelayan, masalah kenaikan harga ikan dapat ditangani demi kepentingan seluruh rakyat.

"Sistem lama diguna pakai semula dan sistem baru ditangguhkan kerana kerajaan prihatin dengan masalah nelayan.

"Namun harga ikan tetap naik. Golongan nelayan mendapat subsidi minyak, elaun sara hidup dan pelbagai insentif lain.

"Saya harap semua bantuan kerajaan dan dengan penangguhan sistem permit pengambilan nelayan asing yang baru terutama bagi pengusaha bot Zon A dan Zon B, golongan nelayan dapat bekerjasama agar harga ikan diturunkan untuk manfaat semua rakyat," katanya dalam ucapan di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai Parlimen Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Pengusaha bot sebelum ini dilaporkan membantah pelaksanaan PLKS kerana bayaran RM1,500 untuk setiap awak-awak asing dianggap membebankan dan bakal menjejaskan industri perikanan negara.

Sistem ketika ini adalah penggunaan pas pelaut atau 'Seaman Book' yang disahkan Jabatan Perikanan selain tidak perlu mengeluarkan kos sebaliknya hanya perlu membayar kepada Jabatan Perikanan untuk mendapatkan lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 6:07 PM