SEORANG kanak-kanak perempuan yang cedera menerima rawatan di hospital.
SEORANG kanak-kanak perempuan yang cedera menerima rawatan di hospital.

Laskhar Gah: Seramai 26 orang awam terbunuh dan ramai lagi cedera apabila tentera Afghanistan melepaskan tembakan mortar, menyasarkan satu majlis perkahwinan di Helmand, wilayah di selatan negara itu.

Timbalan pemerintah tentera wilayah berkenaan, Jeneral Mahmoud berkata, tembakan itu dilepaskan dari tiga arah terhadap sebuah kampung di daerah Sangin, tempat majlis itu diadakan kelmarin.

"Apa yang kami tahu setakat ini, anggota kami melepaskan tembakan mortar dari tiga pos kawalan, tetapi kami belum pasti punca serangan. Siasatan sudah dilancarkan dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum," katanya.

Timbalan Ketua Polis Helmand, Gul Pasha Bakhtiar mengesahkan 26 orang terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak sementara 41 yang lain cedera.

Abang pengantin perempuan, Maluk Khan berkata, terdapat ratusan tetamu di kediaman mereka apabila serangan mortar itu dilancarkan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:06 AM