BELAJAR menghargai masa dengan menyiapkan tugasan yang diberi.
BELAJAR menghargai masa dengan menyiapkan tugasan yang diberi.
PELAJAR berlatih melontarkan buah fikiran di meja perbincangan bersama pensyarah.
PELAJAR berlatih melontarkan buah fikiran di meja perbincangan bersama pensyarah.
VIGNESH Baboo
VIGNESH Baboo
 JAGA pertuturan dan cara berkomunikasi dengan rakan sekerja.
JAGA pertuturan dan cara berkomunikasi dengan rakan sekerja.
Fatin Farhana Japre


Kebanyakan majikan meluahkan perasaan kecewa terhadap graduan baru lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) kerana menganggap kualiti kerja mereka berada di tahap ‘sederhana,’ sekali gus menyebabkan hanya sejumlah kecil saja ditawarkan peluang kerja.

Atas dasar itu, ditambah dengan beberapa faktor sampingan menjadikan graduan baru masa kini terpaksa berdepan realiti kepayahan yang mencabar untuk mengisi kekosongan jawatan di sektor pekerjaan.

Apatah lagi, dengan jumlah graduan yang dikeluarkan setiap kali konvokesyen terlalu ramai melebihi kapasiti penawaran peluang pekerjaan menjadikan tempat membina kerjaya semakin kecil skalanya.

Ramai pihak yang tidak peka turut melontarkan persepsi salah terhadap graduan ini, padahal tiada siapa pun dalam kalangan mereka bergelar penganggur, sekali gus menanggung hutang pinjaman pengajian.

Patutkah graduan dipersalahkan kerana kebanyakannya juga tidak mengetahui faktor tersembunyi untuk dikuasai di tempat kerja akibat tiada pengalaman secara praktikal dan bergantung pada teori semata-mata.

Justeru, INTI International University & Colleges menemui beberapa majikan demi mengetahui lebih lanjut mengenai peraturan untuk menguasai dunia korporat yang tidak dialami di IPT.

Ketua Pegawai Operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, salah satu faktor tersembunyi di tempat kerja yang perlu dikuasai graduan adalah menghargai masa.

Menurutnya, masa berlalu lebih cepat dalam dunia korporat berbanding gaya hidup fleksibel ketika di alam universiti disebabkan banyak tuntutan kerja perlu dipenuhi.

“Sebagai pendatang baru di alam pekerjaan, graduan baru mungkin tidak biasa dengan desakan melakukan lebih banyak kerja dalam masa lebih singkat menyebabkan sesetengah daripada mereka tidak dapat mengendalikan beban kerja diberi majikan, sekali gus menjadi tekanan.

“Akibat tekanan melampau itu, pelbagai permasalahan timbul hingga menyebabkan graduan baru yang masih cetek pengalaman ini terjejas sama ada dari segi mental mahupun fizikal.

“Mereka ini masih teraba-raba dan belajar menyesuaikan diri tetapi pada masa sama perlu menerima rentak masa dengan lebih agresif ketika bekerja selain menstruktur semula jangkaan diri dari segi beban kerja dan pengurusan masa,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan untuk menguruskan masa yang baik bukan saja memberi tekanan berganda kepada graduan berkenaan, malah menyebabkan prestasi kerja yang baru bermula terjejas.

Katanya, majikan tidak boleh menunggu lama atau terlalu diberi alasan kerana mereka terikat dengan standard serta sasaran yang sudah ditetapkan.

“Dalam dunia kerjaya global hari ini, setiap minit sangat berharga dan graduan baru yang gagal menepati standard ditetapkan dianggap tidak kompeten dan tidak berdaya saing.

“Majikan tidak mahu menunggu terlalu lama untuk melihat hasilnya dan tidak juga mahu menerima alasan demi alasan.

“Kebanyakan graduan yang berdepan dengan cabaran ini gagal bekerja mengikut tempoh ditetapkan, sekali gus memberi persepsi buruk kepada majikan walaupun bukan semuanya begitu,” katanya.

Selain faktor masa, kegagalan graduan memperoleh pekerjaan turut berpunca daripada penggunaan bahasa dalam komunikasi di tempat kerja.

“Walaupun universiti menggalakkan ekspresi diri dan pendapat, ia sangat berbeza dengan tempat kerja yang menggunakan bahasa profesional.

“Setiap perkara yang diucapkan membawa kesan di tempat kerja sama ada keputusan atau membentuk reputasi graduan baru dalam industri,” katanya.

Ketua Pertumbuhan dan Operasi Global General Electric, Vignesh Baboo pula berkata, daripada pemerhatiannya ramai graduan kurang berkeyakinan untuk berkongsi idea atau buah fikiran terutama dalam perbincangan membabitkan pegawai atasan.

“Graduan ini perlu menyedari ‘buah fikiran’ yang dilontarkan adalah salah satu nilai yang dilihat majikan untuk mengambil mereka bekerja. Jadi peluang berkenaan perlu direbut ketika diberi kesempatan berinteraksi dengan majikan di meja perbincangan.

“Sudah tiba masanya untuk mereka menguasai peraturan itu demi melancarkan perjalanan kerjaya di mata syarikat korporat,” katanya.

Beliau juga menegaskan bagi membuat perubahan itu, perkara yang perlu dimiliki graduan adalah kesedaran diri.

“Kini terpulang kepada mereka untuk mengubah sikap dan menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan yang begitu berbeza daripada kehidupan di kampus.

“Walaupun peralihan kepada fasa hidup yang berbeza sering membawa tekanan tetapi anggaplah ia satu cabaran berbaloi untuk diatasi kerana banyak pengajaran boleh diperoleh sepanjang laluan mengembangkan kerjaya mereka,” katanya.

Bagi memberi kelebihan kepada pelajar dan bakal graduannya, INTI International University & Colleges membangunkan Projek Majikan (Employer Project) sebagai usaha memberi peluang kepada golongan itu bekerja bersama golongan profesional.

“Cara ini sebagai satu simulasi yang memberi pendedahan terhadap cabaran sebenar dunia pekerjaan kepada mereka.

“Dalam situasi hari ini, semua persediaan sangat perlu dan tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 11:10 AM