Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol yang berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, sehingga bedah siasat mayat Kim Jong-nam selesai malam tadi. - Foto EPA
Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol yang berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, sehingga bedah siasat mayat Kim Jong-nam selesai malam tadi. - Foto EPA
Agensi

Kuala Lumpur: Proses bedah siasat mayat Kim Jong-Nam yang mati Isnin lalu, selesai malam tadi.

Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali yang ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, kira-kira 7.50 malam mengesahkan perkara itu.

Difahamkan, proses bedah siasat mayat lelaki itu yang menggunakan nama Kom Choi dalam pasport Korea Selatan, selesai pada 7.30 malam.

Bagaimanapun Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian serta bila mayat itu akan dituntut dari hospital berkenaan.

Sementara itu Reuters yang memetik sumber pegawai kanan kerajaan Malaysia melaporkan, Korea Utara membantah bedah siasat terhadap mayat Jong-Nam.

Menurut sumber itu, pihak Kedutaan Korea Utara menuntut mayat berkenaan diserahkan kepada mereka segera.

Pegawai Kedutaan Korea Utara juga berada di IPFN sepanjang masa dan empat kereta milik kedutaan negara itu dilihat meninggalkan IPFN pada 8 malam.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, maklumat pada pasport lelaki yang mati selepas diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 itu menggunakan nama Kim Chol yang dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun, 1970.

Media asing melaporkan Kim Chol sebenarnya ialah Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 6:46 AM