Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon popular Siti Elizad meminta pihak yang cuba memburuk-burukkan nama dan rumah tangganya supaya berhenti menyebarkan cerita tidak betul itu.

Elizad, 31, berkata, dia memang tahu siapa dalang yang cuba mencemarkan nama baiknya itu.

"Sebenarnya, sudah setahun pihak terbabit menyebarkan cerita buruk dan tidak betul mengenai saya. Namun, saya hanya bersabar dan berdoa semoga dia akan segera berubah.

"Namun, nampaknya dia masih lagi menyebarkan cerita buruk yang sama. Saya berharap semoga dia muhasabah diri dan meneruskan kehidupannya. Saya juga tidak pernah berhenti berdoa semoga dia dilimpahkan rezeki oleh Allah," katanya.

Elizad berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pihak terbabit di laman sosial mengenai rumah tangganya yang dikatakan bermasalah.

Ditanya sama ada perkahwinannya kini bermasalah, Elizad menafikannya dan menjelaskan dia dan suami, Shamsul Baharin Rahman, 43, bahagia hingga hari ini.

"Alhamdulillah, rumah tangga saya bahagia. Saya sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat cerita rumah tangga kami bermasalah?

“Saya bertuah kerana bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Mereka yang rapat dengan saya juga tahu suami saya seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap. “Jadi, kepada pihak yang dimaksudkan semoga berhentilah menyebarkan fitnah mengenai rumah tangga saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 8:21 PM