Dua anggota polis yang didapati bersalah cuba menerima rasuah, dibawa keluar dari mahkamah. - Foto ROSDAN WAHID
Dua anggota polis yang didapati bersalah cuba menerima rasuah, dibawa keluar dari mahkamah. - Foto ROSDAN WAHID
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah cuba menerima suapan berkaitan kes memiliki kereta seludup di Klang, lima tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh, Lans Koperal Joe Stephen, 31, dan Konstabel Mohd Farid Che Aziz, 33, gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah.

Mereka didakwa cuba menerima suapan RM6,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki bagi kesalahan dikehendaki polis dan memiliki kereta seludup.

Kesalahan itu itu dilakukan di parkir Balai Polis Pandamaran, Klang, kira-kira jam 4.30 pagi, 3 April 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam V Rajehgopal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 11:08 AM