KEADAAN beberapa rumah yang hampir musnah selepas dilanda tanah runtuh di kampung Songan di Bali, semalam. - AP
KEADAAN beberapa rumah yang hampir musnah selepas dilanda tanah runtuh di kampung Songan di Bali, semalam. - AP
AFP

Bali: Seramai 12 penduduk termasuk tiga kanak-kanak terbunuh akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di beberapa kampung di Bali, kata pegawai semalam.

Semua mangsa maut selepas kediaman mereka dilanda tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Kejadian yang berlaku di daerah Kintamani pada malam kelmarin itu turut menyebabkan beberapa rumah ditimbus tanah runtuh dan rosak teruk.

“Hujan lebat sepanjang hari menyebabkan tanah runtuh di tiga kampung yang mengakibatkan 12 penduduk maut,” kata jurucakap agensi bantuan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurutnya, tiga kanak-kanak yang maut dalam tragedi berkenaan berusia setahun, tujuh dan 10 tahun.

“Lima lagi mangsa cedera dengan tiga daripada mereka parah,” jelasnya.

Katanya, kejadian berlaku ketika kebanyakan penduduk kampung tidur di dalam rumah masing-masing.

Seorang pegawai agensi bantuan di Bali memberitahu, semua penduduk yang tinggal di kawasan berisiko berlaku tanah runtuh sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“Semua penduduk diminta tinggal di pusat pemindahan sementara ini sehinggalah kawasan kediaman mereka selamat untuk diduduki semula.

“Pihak berkuasa bimbang kejadian tanah runtuh mungkin berlaku lagi berikutan hujan lebat dijangka berterusan selama beberapa hari lagi,” katanya.

Tanah runtuh sering berlaku ketika musim hujan di Indonesia dan banyak mengorbankan penduduk yang tinggal di kawasan lereng bukit untuk aktiviti pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 8:41 AM