Shahrol bersama isteri dan anak lelaki mereka. FOTO SSCS/NFS
Shahrol bersama isteri dan anak lelaki mereka. FOTO SSCS/NFS
Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: Isteri pelawak terkenal Shahrol Shiro iaitu Nor Farhanah Syamimi, 26, selamat melahirkan bayi lelaki secara normal di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang, Johor pada jam 9.36 pagi kelmarin.

Shahrol, 31, ketika dihubungi berkata, bayi yang belum diberi nama itu dilahirkan pra matang dengan berat hanya 2.1 kilogram.

Menurut Shahrol, kandungan Farhanah baru berusia 35 minggu dan mengikut jangkaan doktor, isterinya itu akan bersalin pada 15 Mac ini.

Bagaimanapun, Shahrol bersyukur kerana bayi dan isterinya kini sihat.

Shahrol berkata, isterinya mengadu sakit perut pada jam 4 pagi kelmarin dan kerap berulang-alik ke tandas.

“Tiba-tiba air ketubannya pecah dan Farhanah ada masa 24 jam untuk bersalin. Situasi itu menyebabkan saya panik, namun rakan-rakan menenangkan saya dan saya terus membawanya ke hospital swasta. Bagaimanapun, mereka tidak ada kemudahan yang cukup untuk menyambut kelahiran bayi dalam situasi mencemaskan itu dan saya terus membawanya ke hospital kerajaan.

“Farhanah dimasukkan ke bilik bersalin pada jam 7 malam dan selamat bersalin hampir tiga jam kemudian. Sepanjang dia mengalami kontraksi sehinggalah bersalin, saya temankannya serta menyambut kelahiran bayi,” katanya.

Shahrol berkata, dia bersyukur kerana Farhanah dapat bersalin secara normal dan isterinya itu akan menjalani tempoh berpantang di rumah keluarganya di Kluang.

“Selepas berkahwin saya memang tinggal di sini (Kluang). Saya juga bercadang untuk membesarkan bayi kami di kampung kerana lebih selesa menetap di kampung berbanding Kuala Lumpur,” katanya.

Shahrol dan Farhanah berasal dari daerah yang sama dan rumah keluarga mereka jaraknya lebih kurang 10 kilometer saja.

Shahrol berkata, Farhana sudah dibenarkan keluar dari hospital semalam dan Isnin ini Shahrol akan ke Kuala Lumpur sebagai persiapan menyertai program Maharaja Lawak Mega 2017 bersama Ajak mulai 17 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 7:30 PM