RAFIENA pantang orang ambil kesempatan.
RAFIENA pantang orang ambil kesempatan.
Najiy Jefri


Penerbit drama popular Datuk Rafiena Ezanee Ramli kecewa dengan tindakan seorang individu yang dikatakan cuba mengambil kesempatan di atas kesenangannya untuk menempa nama menerusi syarikat produksi miliknya, Dark Wave Pictures Sdn Bhd.

Rafiena berkata, baru-baru ini dia didatangi individu terbabit yang menawarkan diri untuk mempelajari selok-belok dunia penerbitan drama, namun gagal menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

“Saya sebenarnya sangat terbuka apabila ada individu yang mahu belajar mengenai selok-belok penerbitan drama kerana saya juga mahu melihat mereka berjaya.

“Malangnya saya kesal apabila kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan kepada individu terbabit gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Menurut Rafiena, dia sudah memberikan banyak peluang dan tugas untuk dilaksanakan, namun amanah itu gagal dilaksanakan membuatkan apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

“Saya sangat tegas apabila bekerja. Saya memang ‘pantang’ apabila ada orang yang cuba mengambil kesempatan untuk kesenangan diri semata-mata.

“Segala kerja akan berjalan lancar sekiranya dia faham mengenai tangungjawab yang perlu dilakukan. Jadi lebih baik saya ‘usir’ saja sebelum keadaan bertambah teruk,” katanya.

Sementara itu, Rafiena bersyukur apabila drama terbaru terbitannya, Syurgaku Tak Sempurna mendapat sambutan luar biasa dan meraih tontonan tertinggi pada hari pertama tayangan di Hypp TV Sensasi (saluran 116).

Menurut Rafiena, drama lakonan Uqasha Senrose, Raja Ilya dan Shah Iskandar itu turut mencatat paling banyak ‘trending’ di Twitter setiap kali ia bersiaran mulai Isnin dan Selasa, jam 9 malam sejak 19 Januari lalu.

“Saya bersyukur dan gembira apabila pihak stesen TV memaklumkan mengenai rating drama ini yang berjaya memecah rekod drama sebelum ini iaitu Sesal Separuh Nyawa yang juga terbitan saya.

“Jika Sesal Separuh Nyawa mula mencatatkan peningkatan pada episod ke-10 tapi menerusi drama ini, saya difahamkan mendapat rating paling tinggi dalam sejarah stesen Hypp TV Sensasi sejak episod pertama lagi.

“Kejayaan ini tidak akan berhasil tanpa usaha keras serta komitmen yang diberikan barisan pelakon dan tenaga produksi.

“Biarpun pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi tetapi kami akan berusaha keras untuk menyiapkan baki penggambaran drama ini yang dijangka selesai dua bulan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 5:00 AM