PELBAGAI manfaat kepada ibu dan anak daripada pemberian susu ibu.
PELBAGAI manfaat kepada ibu dan anak daripada pemberian susu ibu.
Siti Nadirah Hafidzin


Susu ibu keperluan terbaik kepada setiap bayi sejak dilahirkan sehingga menjangkau usia dua tahun. Kelahiran seorang bayi sehingga menjangkau usia dua tahun ternyata satu tempoh yang kritikal bagi menggalakkan pertumbuhan optimum, kesihatan dan perkembangan tingkah laku.

Ia puncak usia apabila tumbesaran terbantut, kekurangan nutrien dan penyakit lazim seperti cirit-birit mudah berlaku. Untuk pertumbuhan dan tumbesaran yang optimum bagi bayi dan kanak-kanak di Malaysia, semua bayi perlu disusukan dengan susu ibu saja bermula detik kelahiran sehingga berusia enam bulan.

Makanan pelengkap perlu diperkenalkan pada usia enam bulan sementara penyusuan susu ibu diteruskan sehingga anak berusia dua tahun.

Penyusuan susu ibu yang diberikan kepada bayi bukan saja memberi kesan positif kepada bayi itu sendiri, malah mendatangkan kebaikan besar kepada ibu terbabit.

Menurut pakar perunding laktasi bertauliah, Dr Nurhaya Yacob, susu ibu mengandungi zat makanan lengkap yang menjadikannya makanan terbaik yang tiada tandingan kepada bayi.

Ia turut berfungsi bagi melindungi bayi daripada jangkitan melalui antibodi yang disalurkan daripada susu ibu.

“Susu ibu mengurangkan risiko alahan kepada bayi selain mengelakkan masalah cirit-birit. Pada masa sama, pemberian susu ibu amat baik untuk perkembangan intelek yang tinggi kepada bayi.

“Kajian juga membuktikan susu ibu mampu mengurangkan masalah berkaitan pergigian dan ortodontik, gangguan pertumbuhan rongga mulut kerana susu formula mengandungi gula yang boleh merosakkan gigi,” katanya.

Menurut Dr Nurhaya, pemberian susu ibu juga amat mudah dihadam, mengurangkan risiko obesiti serta mempunyai suhu yang sesuai dan mudah diminum.

MANFAAT SI IBU

Selain memberi kebaikan dan manfaat kepada bayi, pemberian susu ibu turut memberikan kebaikan kepada si ibu dari pelbagai aspek khususnya kepada kesihatan.

Dr Nurhaya berkata, antara kebaikannya dari segi mengeratkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.

“Dari segi kesihatan, penyusuan susu ibu dapat membantu mengecutkan rahim, mengelakkan pendarahan selepas bersalin selain mengurangkan risiko kanser payudara atau ovari.

“Pada masa sama, ia turut membantu menjarakkan kehamilan serta mengurangkan berat badan (perlu melakukan senaman),” ujarnya.

Menurut Dr Nurhaya, pemberian susu ibu sesuatu yang mudah terutama ketika keluar berjalan kerana tidak perlu membawa bekalan susu formula.

“Dari segi pembelanjaan juga ia amat menjimatkan dengan memiliki pelbagai khasiat yang tidak ternilai kepada bayi juga untuk si ibu. Ternyata pelbagai manfaat diperoleh daripada proses penyusuan susu ibu khusus kepada si anak juga si ibu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 5:02 AM