Nor Habibah sebak ketika ditemui media berikutan kejadian lemas di lombong bauksit pada Sabtu lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
Nor Habibah sebak ketika ditemui media berikutan kejadian lemas di lombong bauksit pada Sabtu lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kebenaran kepada pengusaha lombong bauksit yang mengorbankan tiga kanak-kanak Sabtu lalu untuk melakukan aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunkasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, mengikut laporan awal Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, kebenaran hanya diberikan kepada mereka untuk menjalankan aktiviti mengeluarkan laterit.

"Laporan awal dari PTG mendapati kebenaran hanya diberikan untuk mengeluarkan laterit dan bukannya bauksit.

"Kita masih lagi menunggu laporan penuh dari PTG berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi rumah keluarga seorang daripada mangsa lemas pada kejadian Sabtu lalu iaitu Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10.

Beliau menemui ibu bapa Nureen Ain iaitu Nor Habibah Aidil dan Mohd Sharif Awang Ngah untuk mengucapkan takziah serta menyampaikan sumbangan kerajaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu pada Sabtu lalu, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik iaitu Salsabila Zuhairi, 12, dan adiknya Mahathir Mohamad, 7, dan Nureen Ain lemas dalam kolam bekas lombong bauksit berkenaan.

Sementara itu, Shahaniza berkata, kejadian yang menimpa tiga kanak-kanak itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco esok.

Katanya, isu berkenaan akan dibincangkan untuk mencari satu tindakan penyelesaian berdasarkan kepada laporan disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 6:22 PM