NAJIB melancarkan 1DANA di Putrajaya, semalam.
NAJIB melancarkan 1DANA di Putrajaya, semalam.

Putrajaya: Satu portal khas dikenali 1DANA (www.1Dana.gov.my) diperkenalkan semalam bagi membolehkan rakyat mengakses semua geran dan pembiayaan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan yang ditawarkan agensi kerajaan serta kementerian.

Portal khas dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu dibangunkan Jawatankuasa Pelaburan Dana Awam (JKPDA) iaitu sebuah jawatankuasa di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) selain dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Ewon Ebin.

Najib dalam ucapannya berkata, portal itu menyediakan maklumat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta bentuk bantuan boleh diberikan kepada syarikat dan pihak berkaitan.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan dana untuk R&D dan RM2.3 bilion disediakan dalam tempoh dua tahun.

“Ia satu jumlah besar, malah mesyuarat urus tadbir AIM hari ini (semalam) turut melihat serta memperincikan segala faktor kejayaan bagi aspek pengkomersialan supaya setiap projek R&D dapat ditingkatkan.

“Selain itu, rakyat, individu dan syarikat juga dapat mengetahui secara menyeluruh peranan 11 kementerian dan agensi mengagihkan pinjaman dan geran untuk program inovasi menerusi portal itu,” katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan beberapa menteri kabinet serta Ketua Pegawai Eksekutif AIM Mark Rozario.

Katanya, kerajaan percaya rakyat menyambut baik kewujudan portal itu, sekali gus melancarkan proses sistem penyampaian yang lebih baik kepada rakyat.

Sementara itu, Mark berkata, platform 1DANA akan memastikan ketelusan, mengelak pembaziran dan membolehkan pemantauan berpusat dan penilaian terhadap pelaburan negara dalam R&D dan pengkomersialan.

Katanya, JKPDA sudah membuat penilaian projek R&D dan pengkomersialan berjumlah RM1.23 bilion dan menyokong projek sejumlah RM881 juta.

“Portal itu turut menempatkan maklumat pembiayaan kerajaan, kemudahan R&D dan pakar bidang dan inovasi termasuk peluang komersial yang boleh direbut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:11 AM