GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Dua lelaki berusia 20-an ditahan polis Rabu lalu untuk membantu siasatan berhubung dua lelaki yang ditemui mati di dalam kereta di Kampung Panchor di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kedua-dua lelaki yang juga rakan mangsa itu ditahan di sekitar Kota Bharu.

Katanya, kini pihaknya sedang memburu seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Epa untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan awal kita dapat maklumat tiga individu ada bersama mangsa sebelum kejadian itu berlaku.

"Kita sudah berjaya menahan dua lelaki dan sedang menjejak seorang lagi yang kita percaya dapat membantu menyelesaikan kes ini," katanya di sini tadi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penemuan dua lelaki berusia 18 tahun yang meninggal dunia di dalam kereta.

Nik Muhammad Hafiz Nik Zamzam dan Mohamad Sharul Nizam Hasbullah ditemui meninggal dunia di dalam kereta Perodua Kelisa.

Pemeriksaan terhadap badan mangsa tidak terdapat kecederaan, namun terdapat cecair keluar dari hidung dan mulut kedua-dua si mati, manakala laporan bedah siasat mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia akibat strok haba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 12:13 PM