Abdul Jalil ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Melaka 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang. FOTO Rasul Azli Samad.
Abdul Jalil ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Melaka 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang. FOTO Rasul Azli Samad.
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Polis mengesahkan menerima laporan lelaki yang mendakwa menerima wang palsu RM100 di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Bukit Baru, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hasan berkata, lelaki berusia 30 tahun itu mendakwa dia membuat pengeluaran sejumlah wang tunai dan menerima sekeping wang kertas RM100 palsu selepas gagal mendepositkannya.

"Ketika hendak mendepositkan sejumlah wang di sebuah mesin pada Khamis, satu daripada kepingan RM100 itu gagal didepositkan walaupun beberapa kali berbuat demikian.

"Selepas gagal memasukkan wang berkenaan, lelaki itu memaklumkan kepada pihak bank di mana dia mengeluarkan wang sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada Sabtu lalu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan selain turut menasihatkan orang ramai yang meragui status wang tunai dimiliki untuk segera melaporkan pada bank atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 1:59 PM