Wang kertas RM100 palsu yang diterima mangsa. FOTO Tular
Wang kertas RM100 palsu yang diterima mangsa. FOTO Tular
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Seorang lelaki terkedu selepas menerima wang kertas RM100 palsu daripada individu yang membeli telefon bimbit daripadanya, 20 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa menyedari duit kertas yang diterima palsu ketika mahu mendepositkan wang di mesin deposit tunai (CDM).

Menurutnya, susulan daripada kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM1,700 selepas 17 wang kertas RM100 adalah palsu.

"Mangsa pada mulanya mengiklankan telefon bimbit untuk dijual di Facebook (FB) sebelum seorang wanita menyatakan minat untuk membeli.

"Mereka kemudian bertemu di sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang untuk urusan jual beli.

"Ketika bertemu, suspek menaiki Kia Cerato bersama seorang lelaki menyerahkan 17 wang kertas RM100 dan lima wang kertas RM50," katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tidak menyedari wang kertas yang diberikan suspek adalah palsu sehingga dia pergi ke mesin CDM untuk mendepositkan ke dalam akaun.

Katanya, hanya lima wang kertas RM50 yang diterima daripada suspek adalah tulen.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

"Polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:34 PM