KAKITANGAN tujuh agensi  menjayakan aktiviti gotong-royong pembersihan dan naik taraf Jeram Toi, semalam.
KAKITANGAN tujuh agensi menjayakan aktiviti gotong-royong pembersihan dan naik taraf Jeram Toi, semalam.

Jelebu: Reputasi Hutan Lipur Jeram Toi (HLJT) yang terjejas selepas empat remaja didakwa dijangkiti penyakit kencing tikus atau leptospirosis sejak awal hingga pertengahan tahun ini semakin pulih susulan aktiviti pembersihan dan menaik taraf pusat rekreasi itu, semalam.

Program secara gotong-royong bagi mengembalikan semula keceriaan pusat tumpuan pelancong dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi diketuai Jabatan Hutan Negeri Sembilan (JPNS) dan Majlis Daerah Jelebu (MDJ).

Pengarah JPNS Salim Aman berkata, seramai 100 kakitangan membabitkan tujuh agensi kerajaan terbabit dalam program gotong-royong berkenaan yang berlangsung dua hari.

Katanya, aktiviti itu dijalankan untuk memberi imej baru terhadap HLJT dengan menekankan kepada tiga aspek utama iaitu kebersihan, keselesaan dan keselamatan kepada pengunjung.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan tahap kebersihan, keselesaan dan keselamatan di kawasan ini sentiasa terbaik sebelum dibuka kepada pengunjung dalam tempoh terdekat.

“Kita berharap imej HLJT ini dapat dipulihkan semula selepas kejadian kencing tikus yang menggugat keselamatan pengunjung,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, aktiviti dijalankan membabitkan kerja pembersihan kolam mandi, mengecat wakaf, bangunan pejabat dan infrastruktur selain pengindahan landskap di kawasan sekitar lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 10:12 AM