Sibu: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berang dengan sikap pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei (gambar).

Menurutnya, Jin Wei seorang yang ‘keras kepala’ dengan sering membuat keputusan terburu-buru tetapi kesannya akan terpalit kepada bekas juara remaja dunia itu sendiri.

“Saya setuju kami memang ada isu dengan Jin Wei yang perlu diselesaikan sebelum menjadi besar. Dia memberitahu media mengalami kecederaan buku lali tapi itu tidak benar. Sebelum ini jurulatih (Rony Agustinus) ada bertanya kepadanya sama ada dia boleh beraksi di Masters Malaysia dan Jin Wei menjawab boleh, sedangkan saya lihat dia tidak sebenarnya,” kata Frost.

Ujarnya, Jin Wei yang tersingkir di pusingan kedua sepatutnya memberitahu perkara sebenar kepada pihak pengurusan supaya mudah untuk mereka membuat keputusan sama ada perlu menghantarnya beraksi di kejohanan ini.

“Mungkin dia rasa perkara ini boleh diselesaikan. Dia sebenarnya perlu matang. Saya tidak marah, tapi dalam situasi ini kami seperti ibu bapanya. Jadi ada kalanya kami harus bertegas. Kami tidak mahu di peringkat remaja dia cemerlang tapi berdepan masalah

di kejohanan senior.

“Dia seorang yang keras kepala (mahu turun beraksi). Itu sebenarnya bagus tapi jangan jadi seorang yang kurang bijak.

“Jin Wei baru 17 tahun dan masih banyak perkara harus dipelajari, kami sebagai ibu bapa akan terus mengajar dan menyokong tapi dia perlu patuh,” kata Frost.

Sebelum berangkat ke Sibu, Jin Wei sudah menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) namun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mengakui bersedia beraksi di Masters Malaysia.

Tapi selepas pusingan pertama dia memberitahu mengalami kesakitan di buku lali dan tersingkir di pusingan kedua.

“Sudah tentu kami membenarkan dia beraksi di kejohanan tahun ini untuk membolehkannya bermain pada tahap lebih tinggi dan meningkatkan ranking dari kedudukan ke-31 ke-25 terbaik dunia.

“Paling penting kami mahu dia mengambil bahagian dalam kejohanan supaya sasaran ini dicapai. Tidak banyak sebenarnya kejohanan yang perlu disertainya tahun ini kerana selepas ini dia akan beraksi di Seluruh England dan Terbuka Switzerland,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:10 AM