Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Hisyam Hamid kesal apabila akaun Instagram kelab peminat rasminya, Hisyamelters digodam individu tidak bertanggungjawab sejak 10 Januari lalu.

Akaun yang diikuti lebih 30,000 peminat itu digodam serentak dengan Intagram kelab peminat pelakon, Emma Maembong dan Sweet Farhana.

Hisyam, 32, berkata, dia mendapat tahu perkara itu selepas pengendali akaun kelab peminatnya itu tidak dapat akses akaun berkenaan.

“Pada mulanya dia mahu mengemaskini Instagram itu bagi menghebahkan kehadiran saya sebagai tetamu jemputan dalam program MeleTop.

“Namun, selepas beberapa kali cuba memasukkan kata kunci, dia gagal sekali gus mengesyaki ada sesuatu tidak kena dan ia kemudian ternyata sudah digodam,”kata pelakon Abang Bomba I Love You ini.

Hisyam berkata, dia kecewa kerana semua gambar yang dimuat naik sebelum ini seperti gambar aktiviti bersama peminat hilang.

“Semestinya saya sedih dan kecewa kerana itu sajalah kenangan yang saya ada bersama mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Kes ini adalah pertama kali menimpa pelakon berkenaan dan sudah membuat laporan kepada pihak Instagram sejurus mendapati ia digodam.

“Saya beranggapan itu modus operandi terbaru penggodam berkenaan yang mensasarkan akaun Instagram kelab peminat artis. Saya difahamkan, sebelum saya dan dua pelakon lain itu terkena, perkara sama terjadi kepada beberapa artis lain.

“Buat sementara ini, saya terpaksa menunggu tindakan susulan daripada pihak Instagram untuk menyelesaikan kes berkenaan. Sekiranya akaun itu gagal dikembalikan, saya akan membuat akaun baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 7:46 PM