BERNAMA

Petaling Jaya: Tindakan seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh, yang memeluk dan mencium pipi gadis berusia 19 tahun di tandas awam, membawa padah apabila dia dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Shirajul Islam, 45, selepas dia yang sebelum ini mengaku tidak bersalah menukar pengakuan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan semula hari ini.

Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 31 Okt tahun lalu.

Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang bekerja sebagai penjual pisang goreng dengan niat mencabul kehormatannya, iaitu memeluk dan mencium pipi kanan gadis itu di tandas awam di kawasan Downtown Serdang, di sini pada 10 malam, 29 Oktober lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa sedang menunggu giliran masuk tandas apabila tertuduh datang dari belakang secara tiba-tiba lalu memeluk dan menciumnya.

Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa menjerit dan berlalu dari situ dan menceritakan kejadian kepada ibunya yang berniaga di kawasan pasar malam berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 10:29 PM