Nur Saliawati Salberi


Alor Gajah: Seorang maut manakala enam lagi cedera selepas Proton Saga dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Altis di Jalan Kolam Empangan Machap, di sini, petang tadi.

Kejadian jam 1.30 petang itu dikatakan berlaku apabila kedua-dua kenderaan yang datang dari arah bertentangan bertembung mengakibatkan pemandu Proton Saga berusia 30-an maut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Ramli Yusoff berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 petang, sebuah jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba bomba mendapati terdapat dua mangsa berusia 30-an tersepit di tempat duduk hadapan Proton Saga.

"Pemandu sudah meninggal dunia manakala seorang penumpang hadapan cedera. Kami mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa.

"Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dikejarkan ke hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 7:20 PM
Anggota paramedik memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Anggota paramedik memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan