ANGELIQUE tewas 6-7 (5/7), 2-6 kepada Daria.
ANGELIQUE tewas 6-7 (5/7), 2-6 kepada Daria.
Reuters

Sydney: Persiapan Angelique Kerber menjelang Terbuka Australia minggu depan terjejas apabila pemain nombor satu dunia dari Jerman itu tumpas dua set terus kepada pemain remaja Russia Daria Kasatkina pada pusingan kedua kejohanan Antarabangsa Sydney, semalam.

Pada hari yang suram buat pemain pilihan, Daria yang berusia 19 tahun menang 7-6 (7/5), 6-2 ke atas pemenang dua gelaran Grand Slam Angelique, yang turut tersingkir pada suku akhir di Brisbane minggu lalu.

“Sukar untuk menjelaskan segala-galanya. Saya menewaskan pemain nombor satu dunia dan ia tidak berlaku setiap hari,” ujar Daria, pemain ranking ke-26 dunia.

“Saya fikir saya akan meraih keyakinan,” katanya merujuk kepada Grand Slam pertama tahun ini bermula di Melbourne Isnin ini, yang mana Angelique akan mempertahankan kejuaraan wanitanya.

Terdahulu Anastasia Pavlyuchenkova menang pertembungan sesama pemain Russia menentang Svetlana Kuznetsova sekali gus menyingkirkan juara bertahan itu dalam dua set terus.

Anastasia menewaskan Svetlana, pemain nombor sembilan dunia 7-5, 6-3 untuk mencetus pertembungan suku akhir menentang pemain Kanada, Eugenie Bouchard yang mencipta satu lagi kejutan menundukkan pilihan ketiga Dominika Cibulkova.

Pilihan kesembilan Roberta Vinci dari Itali turut tewas kepada pemain Czech, Barbora Strycova 2-6, 3-6 namun bekas pemain nombor satu dunia Caroline Wozniacki menang 6-0, 7-5 ke atas Yulia Putintseva dari Kazakhstan.

Anastasia tampil pada perlawanan itu dengan rekod buruk tewas lima daripada pertemuan terakhir menentang Svetlana, juara dua gelaran Grand Slam.

“Saya terlalu gembira, terutamanya kerana dia bukan saja juara bertahan tapi rakan senegara saya dan dia berada dalam kelompok 10 terbaik serta mempunyai musim yang gemilang tahun lalu,” jelas Anastasia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 8:49 AM