ANIS & Mama Om.
ANIS & Mama Om.
Syanty Octavia Amry


Nama Anis Nabilah tidak asing lagi dalam program masakan. Sering mengelolakan program seorang diri, kali ini menerusi program baru masakannya 1,2...Bakar! Anis bergandingan dengan cef profesional iaitu Mama Om atau nama sebenarnya Norrizan Alisa.

Berkongsi pelbagai resipi, Mama Om turut berkongsi pengalamannya sebagai penguasaha bakeri.

Apabila dua wanita berkongsi minat sama dipertemukan, suasana pasti meriah dan bertambah menarik apabila menyajikan pelbagai menu menyelerakan.

Berkongsi perasaannya, Anis berkata dia gembira digandingkan dengan Mama Om.

“Menerusi gandingan ini saya dapat mempelajari lebih banyak ilmu mengenai menu berasaskan bakar.

“Selain itu, kami juga boleh bertukar-tukar resipi dan tip,” katanya.

Program 1,2...Bakar! akan menemui penonton setiap Selasa jam 11.30 pagi di TV3.

Penonton akan disajikan dengan pelbagai hidangan berbakar seperti kek, pastri dan manisan.

Selain itu, dua figura hebat ini akan berkongsi hidangan lamb pot pie, rolled oat, blueberry muffin dan tart telur.

Anis dan Mama Om akan mempamerkan hidangan siapa yang lebih sedap dan saling memberikan kritikan membina untuk membaiki hidangan episod seterusnya.

Setiap episod menampilkan tema berbeza dan beberapa selebriti terkenal akan diundang bagi memeriahkan suasana.

Antaranya Fazlina Ahmad Daud, Aleza Shadan, Redza Rosli, Datin Nur Rebecca Islam, Tomok dan Shiha Zikir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 11:54 AM