AFP

Abidjan: Pemain sayap Crystal Palace Wilfried Zaha (gambar) sedia untuk menyarung jersi Ivory Coast selepas namanya disenaraikan dalam 23 pemain yang akan beraksi pada Piala Negara Afrika.

Pemain berusia 24 tahun itu antara beberapa bintang Liga Perdana yang dipilih jurulatih Michel Dussuyer untuk mengharungi kejohanan dari 14 Januari hingga 5 Februari di Gabon. Ivory Coast adalah juara bertahan dan antara pasukan pilihan untuk mengekalkan gelaran.

Minggu lalu, Dussuyer menyenaraikan 24 pemain dan pertahanan Ousmane Viera yang beraksi di Turki, digugurkan.

Pengurus England Gareth Southgate pernah meminta Zaha yang dilahirkan di Abidjan tetapi bermain mewakili England dalam dua perlawanan persahabatan di bawah kendalian bekas pengurus Roy Hodgson, untuk kekal bersama Three Lions.

Namun bekas pemain Manchester United itu enggan memenuhi permintaan itu dan sedia memainkan peranan besar di Gabon selepas menyatakan persetujuan untuk bersama Ivory Coast, November lalu.

Tidak disenaraikan untuk mewakili Ivory Coast ialah kapten Gervinho yang cedera tetapi Dussuyer masih boleh mengharapkan pemain lain yang berpangkalan di Eropah seperti Eric Bailly (Manchester United), Serge Aurier (PSG), Salomon Kalou (Hertha Berlin) dan Wilfried Bony (Stoke City). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 8:11 AM