Pemain Nigeria, Iheanacho Kelechi (tengah) meraikan jaringan berdepan Mesir pada aksi Piala Negara Afrika. FOTO EPA
Pemain Nigeria, Iheanacho Kelechi (tengah) meraikan jaringan berdepan Mesir pada aksi Piala Negara Afrika. FOTO EPA
AFP

Johannesburg: Kelechi Iheanacho membayangi bintang Liga Perdana, Mohamed Salah dan Riyad Mahrez awal pagi ini apabila Nigeria mencipta permulaan baik dalam kempen Piala Negara Afrika manakala juara bertahan, Algeria sekadar seri.

Penyerang Leicester City meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-30 ketika Nigeria mengatasi Mesir 1-0 dalam pertembungan Kumpulan D dekat Garoua.

Gol kemenangan dan persembahan secara keseluruhan memberikan Iheanacho gelaran pemain terbaik perlawanan pada hari penyerang prolifik Liverpool, Salah dan pemain sayap Manchester City, Mahrez gagal menyinar.

Penyerang Mesir, Mohamed Salah (kiri) dikawal pemain Nigeria pada saingan Kumpulan D Piala Negara Afrika. FOTO AFP
Penyerang Mesir, Mohamed Salah (kiri) dikawal pemain Nigeria pada saingan Kumpulan D Piala Negara Afrika. FOTO AFP

Salah yang juga kapten pasukan tampak keseorangan dan kecewa di Stade Roumde Adjia ketika dia memperoleh peluang menjaringkan gol pada babak kedua, cubaannya diselamatkan penjaga gol, Maduka Okoye.

Sementara itu, Guinea-Bissau masih belum menang dalam tiga penampilan di Piala Negara-Negara Afrika apabila Judilson 'Pele' Gomes gagal menyempurnakan penalti selain cubaan terkena palang yang menyelamatkan Sudan untuk seri 0-0.

Algeria pula adalah pilihan untuk menang saingan pembukaan Kumpulan E berdepan Sierra Leone yang membuat kemunculan pertama pada kejohanan itu sejak 1996.

Namun kapten, Mahrez gagal memberi inspirasi buat pasukannya di bandar pelabuhan Atlantik dekat Douala dan beberapa aksi menyelamat hebat penjaga gol Sierra Leone, Mohamed Kamara menyaksikan dia dianugerahkan pemain terbaik perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:50 AM