PEGAWAI MPK dan Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan terhadap sebuah pasar raya dalam Ops Gempur Bersepadu. FOTO Shamsudin Husin
PEGAWAI MPK dan Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan terhadap sebuah pasar raya dalam Ops Gempur Bersepadu. FOTO Shamsudin Husin
Shamsudin Husin


Chukai: Tiga pasar raya di Kemaman diarah tutup sementara dalam Ops Gempur Bersepadu Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bersama dua lagi agensi hari ini, kerana pelbagai kesalahan termasuk kotor, produk tamat tempoh dan pelabelan.

Yang Dipertua MPK, Johan Ibrahim berkata, operasi yang diadakan hampir empat jam bermula 9.30 pagi turut disertai anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Daerah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Ahli Majlis MPK.

Tiga pasar raya berkenaan diarahkan tutup selama tujuh hingga 14 hari mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan dan Perindustrian MPK 2013 serta Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, katanya.

Menurutnya, operasi terbabit turut mengeluarkan enam kompaun terhadap pasar raya berkenaan mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2013, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Kami memeriksa enam pasar raya di sekitar daerah dan tiga daripadanya didapati melakukan kesalahan seperti kesan kehadiran tikus dan serangga, gagal mempamer tanda larangan penjualan rokok, menjual makanan yang tamat tempoh, penlabelan yang salah dan bungkusan makanan rosak.

"Operasi ini dijalankan bagi memastikan pasar raya di daerah ini dapat mematuhi aspek kebersihan dan pematuhan syarat perlesenan MPK dan agensi yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 5:01 PM