MULAI kira-kira minggu ke-23, bayi sudah boleh dengar degupan jantung dan bunyi perut ‘berkeroncong’
MULAI kira-kira minggu ke-23, bayi sudah boleh dengar degupan jantung dan bunyi perut ‘berkeroncong’
Susunan Hajahfarhana Tarmudi


Minggu pertama kehamilan boleh meletihkan dan memberi tekanan kepada ibu hamil. Namun, perasaan itu akan bertukar apabila kehamilan semakin meningkat dan perut mula membesar.

Bagi membantu ibu hamil bersiap sedia menghadapi kehidupan baru ini, luangkan sedikit masa untuk menjalin ikatan rapat dengan bayi dalam kandungan pada bila-bila masa. Kehamilan hanyalah satu permulaan bagi sebuah ikatan kasih sayang dengan anak anda.

Terdapat beberapa cara menarik untuk menjalin ikatan rapat dengan perut anda:

1. Urutlah perut

Cara yang menenangkan untuk membentuk ikatan dengan bayi ialah menyapu minyak pada perut dan mengurutnya perlahan-lahan.

Ramai wanita yang menggunakan minyak dan krim sebagai cara mengelak tanda regangan di perut. Sebenarnya tiada bukti yang menunjukkan kelembapan dapat mengelakkan tanda regangan, tetapi menyapu krim atau minyak sememangnya satu kaedah yang menenangkan diri sendiri dan bayi.

Urutan aromaterapi antara cara yang baik untuk memanjakan diri dan meluangkan masa berfikir mengenai bayi ataupun bercakap-cakap dengannya.

Cuba tambah satu atau dua titik minyak pati lavender, mandarin atau bunga ros (semuanya selamat digunakan selepas trimester pertama) kepada minyak urut biasa.

Tanyalah suami jika dia mahu membantu mengurut. Ini mungkin dapat membantunya berkongsi pengalaman kehamilan dengan isteri.

2. Berenang

Satu cara yang baik untuk merehatkan kaki sambil memikirkan bagaimana rasanya menjadi bayi dalam kandungan adalah dengan berenang.

Berenang bukan saja senaman yang baik, malah ia memberi peluang kepada anda merasai keadaan bayi yang ketika ini juga sedang terapung dalam air (air ketuban).

Tidak kira berapa besar keadaan perut, air dapat memberi sokongan untuk menampung berat badan serta memberi ketenangan menjelang penghujung kehamilan nanti.

Malah, ibu hamil juga boleh mengikuti kelas berkaitan kerana ia memberi peluang untuk bersenam sambil mengenali kawan baru.

3. Menyanyi dan bercakap dengan bayi

Deria pendengaran bayi berkembang sepanjang masa. Mulai kira-kira minggu ke-23, dia sudah boleh mendengar degupan jantung dan bunyi perut yang berkeroncong.

Dia juga mula mendengar bunyi yang datang dari luar rahim. Kekerapan bayi mendengar suara ibu dapat membantunya segera membentuk ikatan selepas dilahirkan.

Terdapat satu teori yang mengatakan pendengaran bayi terbentuk dengan baik sejak dalam rahim untuk membantunya membentuk ikatan dengan ibu walaupun sebelum dia lahir.

Selepas dilahirkan, bayi juga mungkin lebih memberi perhatian kepada suara ibu berbanding suara orang lain. Bercakap dan menyanyi kepada bayi lebih menyeronokkan apabila kita tahu dia boleh mendengarnya.

Ibu hamil mungkin rasa sedikit malu pada mulanya tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi seronok apabila dapat berbual dengan perut sendiri atau bayi.

4. Mandian hangat

Berendam dalam tab hangat salah satu cara untuk berehat. Ia juga memberi peluang kepada anda untuk meluangkan masa dan memberi perhatian kepada bayi.

Ibu hamil mungkin ingin berendam dalam tempoh lama, tetapi pastikan air itu tidak terlalu panas. Baring, tarik nafas dalam-dalam, tenangkan fikiran dan bayangkan bayi anda.

Cuba ambil beberapa minit untuk membayangkan diri mendukung si kecil. Bayangkan rupanya dan apa yang anda mungkin katakan kepadanya. Jika sudah sampai ke trimester kedua, bayi mungkin memberitahu kehadirannya dengan membuat tendangan kecil apabila ibu berhenti bergerak.

Pada waktu siang, ibu mungkin terlalu sibuk untuk merasai pergerakan bayi. Luangkan sedikit masa pada waktu petang atau malam, ketika berendam dalam tab dan fokus kepada pergerakan bayi serta tendangannya.

5. Yoga untuk wanita hamil

Kelas yoga sebelum bersalin cara yang baik untuk berehat dan bertenang. Jika tidak pernah membuat yoga sebelum ini, tidak mengapa jika memulakannya semasa hamil.

Postur yoga untuk pemula biasanya mudah saja. Waktu terbaik untuk mula melakukan yoga ialah dalam trimester kedua, iaitu selepas minggu ke-14. Ibu hamil akan belajar kaedah regangan ringan serta teknik bernafas yang boleh membantu semasa dalam peringkat pelahiran.

Yoga ini boleh membantu ibu hamil menenangkan fikiran dan merehatkan badan serta membantu merasai hubungan dengan bayi dalam kandungan.

6. Simpan gambar imbasan bayi

Imbasan pertama bayi yang biasanya imbasan menentukan tarikh, boleh membantu ibu hamil membayangkan si kecil yang sedang membasar di dalam rahim.

Semasa imbasan dalam trimester kedua, ibu hamil mungkin dapat mengetahui jantina bayi. Menyimpan gambar imbasan bayi di telefon bimbit atau dilekatkan di pintu peti sejuk satu cara untuk mengingatkan diri kepada bayi anda.

Malah, ibu juga boleh mendapatkan imbasan 3D pada penghujung kehamilan. Imbasan 3D boleh memberi gambaran yang lebih jelas mengenai rupa bayi.

Waktu terbaik untuk mendapatkan imbasan 3D di antara minggu ke-26 dan ke-30 kehamilan. Imbasan ini agak mahal, tetapi dengan melihat rupa bayi membolehkan anda dan suami rasa lebih jelas anda berdua bakal menjadi ibu dan bapa.

7. Bantu si ayah menjalin ikatan

Kebanyakan bakal ibu mengalami simptom awal kehamilan. Simptom ini peringatan fizikal anda sedang hamil dan membantu membina ikatan dengan bayi dalam kandungan sejak awal.

Namun bagi si ayah, ia bukanlah sesuatu yang berlaku secara semula jadi. Apabila kehamilan semakin membesar, anda boleh membantu suami membina ikatan rapat dengan bayi.

Bantulah bakal ayah untuk merasa pergerakan bayi. Maklumkan kepadanya mulai minggu ke-23, bayi sudah boleh mendengar bunyi yang datang dari luar rahim.

Galakkan dia bercakap dan membaca dengan bayi. Ini akan membantu bayi membiasakan diri dengan suara ayahnya. Ajak suami menghadiri kelas sebelum bersalin supaya dia tahu perkara yang boleh dijangkakan semasa proses bersalin.

Melahirkan anak ialah kerja berpasukan dan tiada sebab anda berdua tidak boleh memulakannya dari awal. Jika suami bersedia membantu membuat kerja rumah, menyediakan air mandian atau keluar mendapatkan snek yang diidamkan, anda berdua akan merasai kehamilan bersama-sama.

8. Berjalan-jalan atau beriadah

Luangkan masa dengan perut ketika berjalan. Berjalan ialah aktiviti yang baik untuk mengisi waktu makan tengah hari ketika bekerja.

Berjalan-jalan memberikan anda ruang untuk memikirkan mengenai bayi. Ibu juga boleh berbual-bual dengan perut semasa berjalan.

Jika tidak begitu aktif sebelum hamil, mulakan berjalan pada kelajuan yang selesa. Apabila sudah biasa berjalan, bolehlah berjalan lebih laju di antara 20 hingga 30 minit.

Anda boleh selang-selikan di antara berjalan laju selama beberapa minit dengan berjalan perlahan selama beberapa minit lagi.

9. Memberi tindak balas terhadap tendangan bayi

Ibu hamil boleh mula merasa pergerakan bayi bermula kira-kira minggu ke-18 hingga minggu ke-20 jika ini ialah bayi pertama.

Merasai pergerakan bayi memberikan ibu hamil keyakinan dia sedang membesar di dalam perut anda. Memberi tindak balas terhadap tendangannya seolah-olah berkomunikasi dua hala dengan bayi sebelum lahir.

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana saja. Usaplah perut apabila bayi bergerak dan jadikanlah pertukaran tendangan dan usapan ini satu rutin.

Tidak ada yang lebih mengujakan daripada merasa bayi memberi gerak balas terhadap sentuhan anda buat kali pertama.

Sumber: www.babycenter.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 12:12 PM