PENCAWANG elektrik terbakar menyebabkan beberapa kawasan sekitar pekan Kuah, Langkawi bergelap. FOTO ihsan Bomba
PENCAWANG elektrik terbakar menyebabkan beberapa kawasan sekitar pekan Kuah, Langkawi bergelap. FOTO ihsan Bomba
Hamzah Osman


Langkawi: Lebih 2,000 penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung sekitar pekan Kuah bergelap lebih sejam selepas pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad di Lebuhraya Langkawi di sini, terbakar, 2.45 pagi tadi.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran itu pada 2.52 pagi.

"Sejurus itu, sepasukan 18 anggota bersama tiga jentera termasuk jentera Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dengan jentera pertama tiba lapan minit kemudian.

"Setibanya di lokasi didapati berlaku kebakaran kepada transformer di bahagian belakang pencawang itu sebelum usaha memadam dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nur Hafizah berkata, keluasan bilik yang terbakar dianggarkan sembilan meter panjang dan enam meter lebar.

"Api dikawal pada 3.24 pagi dan setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan, malah tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 4:36 PM