SEORANG wanita  pengsan selepas mengetahui anggota keluarganya antara yang terbunuh dalam serangan di Papua.
SEORANG wanita pengsan selepas mengetahui anggota keluarganya antara yang terbunuh dalam serangan di Papua.

Jakarta: Tentera Pembebasan Kebangsaan Papua Barat (WPNLA) mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan di daerah Puncak di Papua Selasa lalu yang menyebabkan empat pekerja sebuah syarikat binaan mati.

Serangan dilakukan kira-kira 20 lelaki bersenjata.

“Kami yang bertanggungjawab. Kini, semua kumpulan pemisah Papua sudah bersatu,” kata jurucakap WPNLA, Sebby Sambom, lewat kelmarin.

WPNLA, kumpulan bersenjata yang berjuang untuk memerdekakan Papua dari Indonesia juga menyokong dua kumpulan pemisah lain - Jawatankuasa Kebangsaan Papua Barat dan Pertubuhan Papua Merdeka (OPM).

Menurut Sebby, serangan itu bertujuan menamatkan pembinaan lebuh raya Trans Papua, projek infrastruktur Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Dia menyifatkan jalan raya sepanjang 4,000 kilometer itu sebagai satu bentuk penjajahan.

Sebby berkata, anggota WPNLA diarah pemimpin mereka supaya menamatkan pembinaan lebuh raya itu dan berkata, serangan Selasa lalu ialah satu bentuk revolusi tempatan.

Tujuh orang berjaya menyelamatkan diri sementara sebuah jengkaut dan sebuah jentolak dibakar dalam kejadian itu.

Ketua polis Papua, Paulis Waterpauw berkata, 40 polis dan askar dikerah memburu penyerang.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Keselamatan, Luhut Pandjaitan berkata, kerajaan merancang melancarkan operasi besar-besaran di Papua, untuk memburu penyerang berkenaan, termasuk menggunakan pasukan elit tentera dan polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 9:11 AM