KARYA Md Noh Majid bertajuk Teluk Cempedak.
KARYA Md Noh Majid bertajuk Teluk Cempedak.
Ainal Marhaton Abdul Ghani


Peminat lukisan bertemakan alam dan kemanusiaan berpeluang mencuci mata dengan berkunjung ke pameran sempena 1Malaysia Contemporary Art Tourism (1MCAT) 2016 yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember ini di Galeri Pantai Timur, Jalan Bukit Ubi, Kuantan.

Pameran yang menghimpunkan 70 lukisan dihasilkan 35 pelukis amatur dan profesional itu mewakili sebahagian sisi dan wajah Pahang secara keseluruhannya.

Pengerusi Persatuan Senilukis dan Senireka Melayu Negeri Pahang (SENIKA), Mohd Shaimy Hashim berkata, pameran bertunjangkan kisah benar itu sebahagiannya mewakili landskap Kuantan, pemandangan alam semula jadi, destinasi pelancongan, luahan hati, bencana alam, kealpaan dan bayangan masa silam serta kehidupan ‘abadi’.

“Gabungan tona warna menerusi cat minyak, cat air dan akrilik membolehkan objek, motif dan konsep karya digarap dengan penuh keikhlasan dan kejujuran bagi menyuntik nostalgia kehidupan yang tersimpan dalam lipatan sejarah pengkarya.

“Hampir keseluruhan karya menonjolkan ‘sifat’ Kuantan sejak dulu hingga sekarang yang digambarkan atas kanvas dengan begitu cantik dan mempunyai seribu satu maksud tersendiri,” katanya.

Ismail Atan, 68, yang gemar berkarya menggunakan medium cat minyak menampilkan lukisan bertajuk Ilham Khatijah.

“Ilham Khatijah sempena nama puteri saya yang menggambarkan ketulusan hati seorang wanita, peka dengan kejadian sekeliling tetapi tidak terpengaruh dengan situasi dilaluinya,” katanya.

Md Noh Majid, 73, pula lebih senang menerusi karya landskap dengan memperkenalkan dua daripada ratusan karyanya, Teluk Cempedak dan Jalan Bank.

“Gabungan warna terang, gelap dan garang itu sebenarnya menggambarkan keceriaan dan kegembiraan pengunjung ketika berada di pusat peranginan itu manakala lukisan bertajuk Jalan Bank menggambarkan suasana persekitaran kawasan yang masih lengang dan menenangkan pada awal 1900, jauh daripada kesibukan seperti hari ini,” katanya.

Osman Limat, 70, mempamerkan dua karyanya menerusi Ada Helang Ada Siput dan Keagungan Manusia, menggambarkan kerakusan manusia ‘menjahanamkan’ hutan tanpa kawalan dengan tidak memikirkan kesannya terhadap hidupan sekeliling.

“Tidak sukar melukis jika kita ‘hidup’ bersama alam. Pameran ini membuka laluan untuk saya bercerita kepada pengunjung betapa kita perlu bernafas dalam suasana harmoni, bukan hidup dalam dunia yang musnah dan tercemar.

“Ketamakan manusia terhadap sumber alam dilakukan tanpa memikirkan kesannya. Kemusnahan hutan disebabkan kerakusan manusia, namun tajuk berkenaan sengaja diterbalikkan kepada Keagungan Manusia,” katanya yang pernah menyertai bazar seni di Milan beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 4:55 AM