HASMIZA Othman (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Supiah Ahmad
HASMIZA Othman (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Supiah Ahmad
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman dijatuhi hukuman denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas 16 tuduhan gagal kemuka penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Julai lalu.

Bagaimanapun, Hasmiza, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida kekal dengan pengakuan tidak bersalah bagi 16 lagi pertuduhan gagal membayar cukai berkenaan dan minta untuk dibicarakan.

Keputusan itu dijatuhkan Hakim Murtazadi Amran selepas peguam tertuduh Syed Ahmad Syed Abas memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu membuat pengakuan bersalah.

Hasmiza sebelum ini didakwa Pada 13 Oktober lalu atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST dari tempoh 1 April 2015 hingga 31 Julai lalu mengikut Seksyen 41(6) Akta GST 2014 berjumlah RM4.2 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, Jalan Tun Abdul Razak di sini.

Jika sabit kesalahan mengikut seksyen berkenaan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Murtazadi sebelum itu menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula 16 lagi pertuduhan yang dikenakan terhadap Hasmiza atas kesalahan gagal membayar cukai berkenaan selepas tertuduh kekal dengan pengakuan tidak bersalah.

Pendakwaan dijalankan TimbalanPendakwaraya Farah Ezlin Yusop Khan dan Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 1:37 PM