Adam Salleh

Selang sehari selepas peminat hiburan tanah air ‘gumbira’ dengan kemenangan Azaharina menjuarai Gegar Vaganza 3, perfileman Kollywood berduka di atas kematian seniwati Jayalalithaa. Nama itu asing di halwa telinga kita, justeru tidak nampak adanya coretan belasungkawa Jayalalithaa di akhbar dan majalah berbahasa Melayu. Namun, akhbar Tamil lokal memaparkan berita kematian Jayalalithaa di muka depan.

Boleh dikatakan akhbar bahasa Tamil macam goreng pisang panas, laris pada hari berita kematian Jayalalithaa dipaparkan pada 6 Disember. Jayalalithaa dilahirkan pada 24 Februari 1948 di Melukote, India, meninggal dunia di Chennai pada 5 Disember, dalam usia 68 tahun.

Usahkan masyarakat Hindu di negara kita, tauke restoran mamak beragama Islam, andai diajak bersembang mengenai Jayalalithaa, mereka akan rancak berborak. Sebagaimana kita sedih kehilangan P Ramlee (Allahyarham, Tan Sri) begitulah sayunya mereka menyebut Jayalalithaa, apatah lagi mengenang kembali Jayalalithaa bersama pasangan lejennya seniman MGR, samalah seperti P Ramlee dan Saloma (Allahyarham).

Cuma bezanya P Ramlee dan Saloma mengakhiri usia sebagai anak seni berstatus seniman dan seniwati tetapi MGR atau MG Ramachandra dan pasangannya Jayalalithaa itu menutup usia sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, yang populasi penduduknya seramai 77 juta orang.

Orang Hindu di Malaysia termasuklah ‘ane ane’ pengunting rambut kita majoriti berasal dari Chennai, ibu negeri Tamil Nadu. Penulis beruntung ketika kecil sudah didedahkan dengan filem-filem Tamil, kerana kebetulan menetap di Kampung Klang Gate Baru, Selangor, berjiran dengan estet yang kini Desa Melawati. Wayang pacak filem Tamil di estet itu, menjadi agenda hiburan paling seronok buat kami.

Apabila ayahanda penulis (Salleh Ghani) menjadi pengurus Pawagam P Ramlee, pelbagai filem ditayangkan di situ seperti Indonesia, Hollywood, Hong Kong serta Hindustan, dan Jayalaithaa sempat berlakon filem Hindi berjudul Izzat di samping aktor Dhamendra.

Gandingan Jayalalithaa dan MGR (Marudur Gopalan Ramachandran) sememangnya dinanti peminat filem Tamil. Malah Seniman Agung kita antara meminati MGR. Jika tonton beberapa filem P Ramlee seperti Laksamana Do Re Mi ada dialog Tamil cara P Ramlee mengajuk aksi MGR.

Ketika MGR berkunjung ke Kuala Lumpur pada Julai 1970, selain pengarah filem Melayu, Tan Sri L Krishnan kelibat P Ramlee sentiasa di sisi MGR, malah ada gambar mereka bersila bersama dalam satu program di Kuala Lumpur. Sekeping gambar nostalgia di Stadium Negara pula kelihatan P Ramlee, MGR dan Tun Pehin Sri Taib Mahmud (bekas Ketua Menteri Sarawak kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak).

Bintang filem Tamil lain turut hadir ketika itu adalah Jayalalithaa, Manjula dan pelawak Nagesh. Hebat atau tidak mereka ini, seramai 5,000 peminat filem Tamil termasuklah orang Melayu sanggup berhimpit-himpit di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Sultan Abdul Aziz) menanti ketibaan bintang hebat filem Tamil, apatah lagi mereka mendapat pasangan dua sejoli, MGR dan Jayalalithaa turut hadir.

Peminat fanatik MGR memang ekstrem tahap tertinggi kerana ada yang sanggup bunuh diri sebaik mendapat tahu MGR sudah mati.

Sewaktu menghubungi seniwati veteran, Datuk Rosnani Jamil (Sri Mersing), katanya ketika era kemuncak filem Melayu di Singapura, MGR dan Jayalalithaa pernah berkunjung ke studio mereka untuk berkenalan dengan seniman dan seniwati filem Melayu ketika itu.

Di mana ada MGR di situ ada Jayalalithaa, samalah seperti P Ramlee dan Saloma atau Sophan Sophiaan (Allahyarham) dan Widyawati yang sinonim sebagai pasangan abadi cuma bezanya status P Ramlee dan Saloma, Sophan Sophiaan dan Widyawati adalah suami isteri.

Status MGR dan Jayalalithaa sememangnya diragui (kedua-duanya tiada zuriat), namun itu hal peribadi mereka kerana yang pasti, MGR dan Jayalalithaa mengharumkan nama insan seni apabila kedua-duanya menceburi politik dan terpilih menjadi Ketua Menteri.

Kematian Jayalalithaa mendapat perhatian BBC News yang melabelkannya India’s Iron Lady. Masyarakat India memberi penghormatan tertinggi pada Jayalalithaa dengan panggilan Amma (ibu). Perdana Menteri India, Narenda Modi hadir memberi penghormatan terakhir dan lebih mengharukan ramai artis mengalir air mata termasuklah hero Kabali, Rajinikanth sebak menatap jenazah Jayalalithaa.

Mengharukan juga di akhir usia Jayalalithaa, beliau menyentuh mengenai perpaduan sesama kaum yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ucapan Jayalalitha di hadapan masyarakat Hindu menjadi viral buat saudara baru kita yang asal Hindu kini memeluk agama Islam.

Dipetik antara ucapan Jayalalitha, “kita orang Islam tidak boleh minum memabukkan, bila mabuk bagaimana mahu sembahyang (solat).”

Masyarakat Islam di Tamil Nadu pula, ramai mengadakan solat hajat mohon kesejahteraan buat Jayalalitha apabila mendapat tahu ‘Amma’ mereka terlantar di hospital. Lalu timbullah pelbagai cerita mengait susur galur Jayalalithaa yang asalnya adalah dari zuriat orang istana bergelar ‘sultan’ dan beragama Islam. Yang pasti Jayalalitha mengangkat maruah wanita daripada seniwati akhirnya menjadi Ketua Menteri.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 8:53 AM