GAMBAR hiasan. FOTO ihsan TNB
GAMBAR hiasan. FOTO ihsan TNB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB), menjadualkan semula hampir 2,000 kerja senggaraan yang tidak kritikal di Semenanjung Malaysia sepanjang fasa pertama sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula 1 Jun 2021 demi keselesaan pengguna.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, penjadualan semula itu membabitkan kerja senggaraan tidak kritikal yang sudah dirancang lebih awal.

Katanya, terdapat 404 kerja senggaraan kritikal dirancang sehingga 14 Jun yang membabitkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

"Bagaimanapun, barisan hadapan TNB akan terus memikul amanah melaksanakan kerja-kerja senggaraan kritikal walaupun angka penularan wabak Covid-19 kekal tinggi bagi memastikan sistem TNB sentiasa dalam keadaan baik, teratur dan berdaya harap.

"Kerja senggaraan kritikal masih perlu diteruskan. Kami akan mengeluarkan notis pemakluman dan memasang set janakuasa bergerak dan membuat suap balik di tapak supaya gangguan bekalan elektrik dapat diminimumkan.

"Senggaraan kritikal ini antara lain membabitkan kerja pembaikian perkakas dikenal pasti rosak dan pembaikan berdasarkan keadaan perkakas elektrik menerusi proses diagnostik atau Penyelenggaraan Berasaskan Keadaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerja senggaraan adalah penting bagi memastikan pepasangan TNB sentiasa dalam keadaan baik, selamat serta cekap, mengelakkan gangguan bekalan selepas pembaikan, membaiki kejanggalan yang timbul, dan mengurangkan risiko gangguan.

Wan Nazmy berkata, pasukan TNB juga sentiasa dalam keadaan siap saga untuk kerjakritikal lain yang tidak terancang atau di luar jangkaan, untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti percikan arka (flashover).

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik atau terdapat kejanggalan pada pepasangan TNB, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 1:16 PM