PENYIASAT memeriksa tempat kejadian. - AFP
PENYIASAT memeriksa tempat kejadian. - AFP
Agensi

Islamabad: Pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang nahas dengan 47 penumpang serta anak kapal kelmarin dilaporkan mengeluarkan panggilan ‘mayday’ sebelum terhempas di kawasan pergunungan, kata pihak berkuasa semalam.

Pesawat itu terhempas dan meletup selepas satu daripada dua enjinnya gagal berfungsi ketika penerbangan dari Chitral ke Islamabad.

Juruterbangnya mengeluarkan panggilan kecemasan sekitar jam 4.14 petang (waktu tempatan) sebelum hilang dari radar dua minit kemudian, kata pengerusi PIA, Azam Saigol.

“Fokus kami mencari semua mayat dan siasatan penuh akan dijalankan,” katanya.

Jurucakap PIA Danyal Gilani berkata, kotak hitam sudah ditemui.

“Bagaimanapun, penyiasat memerlukan masa untuk menelitinya sebelum punca sebenar nahas boleh dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, tentera berkata, tiga helikopter digunakan untuk membawa mayat mangsa dari hospital di bandar Abbottabad ke Islamabad.

Saksi berkata, mereka ternampak pesawat itu terbang rendah sebelum tiba-tiba terhuyung-hayang sebelum terhempas ke pergunungan di perkampungan Gug dan terbakar.

Penduduk Gug, Chaudhry Rustam berkata: “Saya mendengar dentuman kuat ketika pesawat terhempas di lereng gunung dan terus bekejar ke tempat kejadian.

“Pada mulanya kami semua bimbang pesawat itu akan terhempas di kampung kami.”

“Saya sedang menyiapkan makan malam apabila ternampak pesawat itu melanggar beberapa pokok dan tangki bekalan air di kawasan tanah tinggi,” kata penduduk, Zainab Nazakat.

Puluhan penduduk membantu usaha mencari sisa mayat mangsa.

Pekerja sosial, Jabir Khayan berkata: “Kami mengangkat sayap pesawat dan terkejut melihat beberapa mayat di bawahnya.”

Antara yang maut dalam nahas itu, Junaid Jamshed, bekas penyanyi yang kini ulama terkenal dan isterinya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 7:25 AM