Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian tembak di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, malam tadi. FOTO Mikail Ong
Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian tembak di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, malam tadi. FOTO Mikail Ong

Georgetown: Seorang daripada tiga yang maut dalam kejadian tembak di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, malam tadi dikenal pasti sebagai Datuk Ong Teik Kwang atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk M berusia 32 tahun dan dia ditembak pengawal peribadinya yang mengamuk.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, pengawal peribadi terbabit menaiki kereta bersama Datuk itu dan seorang lagi rakan mereka.

Berlaku pergaduhan dalam kereta berkenaan sebelum suspek melepaskan tembakan hingga menyebabkan Datuk terbabit meninggal dunia.

Suspek kemudian keluar dari kereta dan mengacukan senjatanya kepada seorang lagi rakannya di tengah jalan membuatkan keadaan trafik menjadi sesak.

Bagaimanapun tembakan dilepaskan terkena pemandu kereta serta seorang penunggang motosikal di tempat kejadian dan mereka maut.

Kejadian itu turut mengakibatkan empat cedera termasuk jurukamera sambilan RTM Mohamad Amirul Amin Amir, 28.

Dia yang bersama rakannya wartawan Sinar Harian Mohd Iskandar Othman, 27, dalam perjalanan ke Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong dengan menunggang motosikal.

Mohamad Amirul yang menyangka ada kemalangan dan berhenti untuk memberikan bantuan, namun suspek melepaskan tembakan yang terkena bahu kirinya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, suspek berusia lingkungan 40-an ditahan di lokasi kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:58 PM