INDIVIDU albino di Afrika sering jadi mangsa kekejaman. FOTO Reuters
INDIVIDU albino di Afrika sering jadi mangsa kekejaman. FOTO Reuters
PERTANDINGAN ratu cantik albino pertama di dunia diadakan untuk hapuskan stigma ke atas golongan itu.  FOTO Reuters
PERTANDINGAN ratu cantik albino pertama di dunia diadakan untuk hapuskan stigma ke atas golongan itu. FOTO Reuters
INDIVIDU albino di Afrika sering jadi mangsa kekejaman. FOTO Reuters
INDIVIDU albino di Afrika sering jadi mangsa kekejaman. FOTO Reuters
IKPONWOSA Ero. FOTO Reuters
IKPONWOSA Ero. FOTO Reuters
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Kehidupan Ikponwosa Ero ketika kecil sangat sukar. Masih segar di fikirannya semua peristiwa yang dilalui apabila berada di khalayak. Tidak pernah dia dapat berjalan di tempat terbuka dengan aman tanpa dibuli - hanya kerana dia dilahirkan sebagai individu albino yang ketiadaan pigmen pada kulit, rambut dan mata.

“Dalam tempoh lima minit, hampir 50 orang menghamburkan macam-macam perkataan, ada yang mencubit dan tidak kurang yang menarik rambut saya. Malah ada yang menyanyikan lagu yang mengejek keadaan saya,” kata pakar albino pertama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengenangkan pengalaman silamnya kepada wartawan Thomson Reuters Foundation.

“Saya selalu berfikir, kenapa saya dilahirkan? Bagaimana saya boleh bertahan dengan keadaan itu? Dulu saya fikir tidak mungkin dapat mengharungi semua ujian ini,” katanya.

Di seluruh benua Afrika, individu albino sering kali dipulaukan, diserang bahkan dibunuh hanya kerana dilahirkan dalam keadaan berbeza. Di kebanyakan negara, anggota badan individu albino dipercayai boleh membawa kekayaan dan nasib baik. Lebih teruk ia dianggap sangat berharga dan dijadikan bahan utama dalam pemujaan serta penghasilan ubat jampi.

Mujur Ero mempunyai ibu yang penyayang. Ibunya akan memujuk dan menenangkan hatinya dengan mengatakan tuhan tidak akan melakukan kesilapan dalam mencipta manusia. Malah ibunya jugalah dengan berani memperjuangkan haknya untuk bersekolah walaupun daya penglihatan Ero amat terhad - satu keadaan yang biasa bagi individu albino.

“Dalam kelas, saya selalu dipukul apabila beritahu tidak boleh melihat dengan jelas kerana cikgu fikir saya berbohong,” katanya dalam sidang media di Nairobi selepas persidangan dengan aktivis albino dari 15 negara di seluruh Afrika.

Ero berjaya menamatkan persekolahan dengan bantuan rakan yang menyalinkan soalan peperiksaan yang ditulis di papan hitam. Sebagai balasan, dia berkongsi jawapan dengan rakan berkenaan.

Kemudian dia melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan berjaya menjadi peguam di Kanada. Pada 2015, dia dilantik sebagai pakar albino PBB.

Albino ialah gangguan atau masalah kongenital yang dialami seseorang sejak lahir dan dianggarkan ia berlaku pada seorang bagi setiap 15,000 orang di sub-Sahara Afrika.

Sering jadi mangsa serangan

Sebaik dilantik, keutamaan Ero kini adalah menghentikan serangan kejam ke atas individu albino oleh si pelaku yang mahukan anggota mereka untuk dijadikan bahan ilmu sihir.

Menurut Ero, lebih 600 serangan direkodkan di 26 negara Afrika sejak 2007, dengan hampir dua pertiga mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

“Dalam ilmu sihir, mereka percaya jika serangan berlaku ke atas individu albino yang masih hidup, ubat jampi yang dihasilkan akan lebih berkuasa. Mereka mahu si mangsa menjerit kesakitan kerana dipercayai jeritan itu akan menambah keberkesanan ubat,” katanya.

Kini Ero merancang pelan tindakan yang akan digunakan bagi mengumpulkan dana secara dalam talian bagi membeli batang besi dan mangga kukuh untuk dipasang di pintu rumah khususnya buat keluarga yang berisiko diserang.

“Jika kerjasama ini berhasil, saya jangkakan dalam tempoh 20 tahun, serangan ke atas individu albino akan menjadi sejarah,” katanya.

Beliau menambah, baru-baru ini Malawi menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Britian untuk projek perlindungan komuniti itu.

Selain itu, usaha untuk menyedarkan masyarakat dan mengikis stigma terhadap individu albino juga sangat diperlukan kerana ramai lelaki meninggalkan keluarga masing-masing apabila isteri mereka melahirkan anak albino.

“Ayah dan ibu saya sendiri terkejut melihat keadaan saya ketika dilahirkan. Mereka berkulit gelap dan berambut hitam. Saya pula berkulit putih pucat dengan rambut kuning. Mereka juga selalu bergaduh dan saling menyalahkan satu sama lain, mencari penyebab mengapa saya dilahirkan begini,” katanya.

Sama ada bapa, bapa saudara, ibu saudara dan ibu tiri biasanya turut terbabit dalam serangan ke atas kanak-kanak albino, bagaimanapun banyak kes yang tidak dilaporkan.

Ero ditemani oleh Isaac Mwaura, ahli parlimen albino pertama di Kenya, yang menganjurkan pertandingan ratu cantik pertama di dunia bagi individu albino pada Oktober lalu bagi mengurangkan stigma terhadap golongan itu. Tahun lalu, seorang individu albino dibunuh di Kenya.

Sebelum pencalonannya di parlimen pada 2013, Mwaura berjaya melobi parlimen Kenya supaya memperuntukkan dana sebanyak RM4.5 juta bagi membekalkan krim tabir suria, topi, baju lengan panjang, penjagaan mata dan rawatan kanser untuk golongan albino.

Kanser mengorbankan ramai individu albino sebelum mereka mencecah usia 40 tahun, kata Ero. Malah Mwaura bercadang untuk bertanding dalam pilihan raya Kenya tahun hadapan.

“Kami perlu terus memecahkan siling kaca terhadap individu albino. Selagi tidak berjaya, kami tidak akan berhenti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 2:07 PM