VELODROM Nilai  bertaraf dunia.
VELODROM Nilai bertaraf dunia.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersedia membida untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab berkata, mereka memerlukan sokongan kewangan terutama daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara) serta penajaan mencukupi bagi menjayakan kejohanan itu.

Jelasnya, ketua jurulatih negara John Beasley ada mencadangkan kepadanya untuk cuba menganjurkan siri Piala Dunia selepas menganjurkan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) tahun depan.

“Bagi saya, PKBM sedia membida siri Piala Dunia atau Kejohanan Dunia kerana velodrom kita layak untuk menjadi tuan rumah.

“Cuma yang menjadi kebimbangan saya adalah kewangan tidak mencukupi. Ini kerana kejohanan seperti siri Piala Dunia dan Kejohanan Dunia memerlukan kita membayar kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) dengan jumlah yang besar. Pulangan kepada negara dalam aspek kewangan adalah menerusi penjualan tiket saja,” katanya.

Jaguh keirin dunia dan negara Azizulhasni Awang selepas menguji trek Velodrom Nasional kelmarin turut menaruh harapan Malaysia dapat menganjurkan kejohanan besar seperti itu suatu hari nanti.

Sementara itu, Abu Samah mengesahkan aksi praSukan SEA membabitkan acara trek yang dijadualkan pertengahan bulan depan terpaksa ditangguhkan kerana Velodrom Nasional masih belum siap sepenuhnya selain perlu menjalankan proses ‘homologation’ iaitu prosedur teknikal yang ditetapkan UCI.

“Bagaimanapun kejohanan praSukan SEA membabitkan acara lebuh raya akan diteruskan seperti dirancang pada 18 hingga 21 Mei,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 6:49 AM