TERTUDUH (kanan) didenda RM20,000 kerana memiliki minyak masak tanpa lesen. FOTO Ihsan KPDNHEP.
TERTUDUH (kanan) didenda RM20,000 kerana memiliki minyak masak tanpa lesen. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LELAKI Thailand didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini atas tuduhan memiliki minyak masak bersubsidi.

Hakim Mohd Rosli Mohamed Nawi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sam-Un Satae, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu dan kenderaannya dilucut hak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 595 kilogram tanpa lesen barang kawalan dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Penolong Pegawai Penguat kuasa Samsul Imran Ibrahim dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, tertuduh ditahan dalam operasi Barang Kawalan Berjadual antara pihaknya dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Rantau Panjang pada 7.15 malam Sabtu lalu.

“Dia memandu Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand ditahan kerana memiliki minyak masak subsidi seberat 595 kg bernilai RM1,487.50 dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penyelewengan membabitkan barang kawalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 2:35 PM