Seramai 11 pekerja kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan penyelewengan minyak masak bersubsidi.FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Seramai 11 pekerja kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan penyelewengan minyak masak bersubsidi.FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 11 pekerja kilang terdiri warga tempatan dan Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan penyelewengan minyak masak bersubsidi awal bulan ini.

Tertuduh warga tempatan A Halim Main, 42; R Kalisamy, 50 dan B Saravanan, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Pengakuan sama turut dibuat lapan warga Bangladesh iaitu Omar Ali, 34; Rokey, 34; S M Mahasin, 34; Muhammad Mansur Alam Sultan Ahmad, 34; Mohamad Saiful Islam Faridul Alam, 23; selain Kubirahmat Abdul Salam; Md Atiqur Haja Mahuiddin dan Haque Haju yang tiada pengenalan diri.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didapati mempunyai syak yang munasabah berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak masak seberat 18,849 kilogram tanpa lesen mengikut Perenggan 4(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1947.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didapati mempunyai syak yang munasabah berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 4,500 liter tanpa lesen mengikut Perenggan 4(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1947.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di premis Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, kira-kira jam 2 pagi, 4 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tiga tertuduh warga tempatan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, manakala lapan tertuduh warga asing pula tidak dibenarkan jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, T Ashvinii dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Raja Nor Ikhlas Raja Ariff.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 2:07 PM