AIR naik berhampiran Terminal Jeti Penumpang. FOTO Shahrizal Md Noor
AIR naik berhampiran Terminal Jeti Penumpang. FOTO Shahrizal Md Noor
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Kedah: Pekan Kuala Kedah dinaiki air sedalam 0.5 meter, susulan fenomena air pasang besar, malam tadi.

Kejadian turut menyebabkan beberapa kawasan sekitar kampung Kampung Tok Pasai, Taman Seri Putera, Kampung Ulu, Kampung Seberang Kota dilanda banjir kilat, namun masih terkawal.

Ketika tinjauan dibuat di pekan ini, penduduk ditemui memberitahu, air pasang mulai melimpah sekitar jam 11.30 malam.

Penduduk, Asri Husin, 40, berkata, air pasang besar itu turut menyebabkan kawasan tempat letak kereta Terminal Penumpang Kuala Kedah digenangi air.

"Mujur kawasan tempat letak kereta di sini ditambak tinggi, jika tidak mungkin ada kereta yang tenggelam sebab air laut dan sungai bersebelahan bercampur dan melimpah hingga ke jalan.

"Keadaan air pasang ini dijangka berlaku lagi tengah malam esok (hari ini).

"Air melimpah dengan cepat kurang lima minit jalan separuh jalan di sini sudah digenangi air ," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa penduduk terpaksa menolak motosikal mereka selepas enjin terpadam ketika meredah air, selain ada pemandu kereta berpatah balik ketika melalui jalan utama di pekan itu.

Air mulai surut sekitar jam 1.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 12:55 PM